Kalah teruk LDP tarik diri daripada BN
10:05 May 12, 2018  |  By SabahKini2
Kalah teruk LDP tarik diri daripada BN

Presidennya, Datuk Teo Chee Kang mengakui kekalahan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen itu adalah satu tamparan hebat kepada parti itu.

KOTA KINABALU-  Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) hari ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas kalah dalam kesemua lima kerusi yang ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu lalu.

Presidennya, Datuk Teo Chee Kang mengakui kekalahan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen itu adalah satu tamparan hebat kepada parti itu.

"Rakyat Malaysia telah bersuara menerusi undi mereka. Memandangkan mesej yang jelas bahawa rakyat Malaysia mahu perubahan dalam rejim, saya berbincang dengan majoriti ahli Majlis Tertinggi LDP dan konsensus umum adalah undur dan keluar dari BN," katanya dalam kenyataan di sini.

Teo berkata mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi parti akan diadakan  pada jam 8 malam ini bagi mengesahkan keputusan menarik diri dari BN dan menentukan hala tuju parti selepas ini.

Pada PRU14, Rabu lalu, Teo kalah kerusi DUN Tanjung Kapor dalam persaingan lima penjuru dengan majoriti 2,992 undi.

Kerusi tersebut dimenangi calon Warisan, Chong Chen Bin yang memperoleh 9,124 undi manakala Teo 6,132 undi.

Naib Presiden LDP, Datuk Chin Shu Ying tewas di kerusi DUN Likas, Lim Kai Min (Karamunting) dan Lim Ting Kai di DUN Merotai.

Seorang naib presiden parti, Datuk Lim Ming Hoo, juga kalah di kerusi Parlimen Sandakan.

Semalam,  Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau umum parti itu keluar daripada BN.

4 Comments