Musa Aman Ketua Menteri Sabah masih sah - Pairin Kitingan
00:05 May 15, 2018  |  By SabahKini2
Musa Aman Ketua Menteri Sabah masih sah - Pairin Kitingan

Tindakan itu adalah salah, upacara angkat sumpah sebagai ketua menteri tidak boleh dilakukan semula kerana ketua menteri (Musa) telah mengadakan upacara mengangkat sumpah secara sah.

PENAMPANG : Tindakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah adalah bertentangan dengan undang-undang dan tidak sah.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, tindakan Mohd Shafie itu tidak sah kerana Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah sebelum ini.

"Tindakan itu adalah salah, upacara angkat sumpah sebagai ketua menteri tidak boleh dilakukan semula kerana ketua menteri (Musa) telah mengadakan upacara mengangkat sumpah secara sah.

"Kenapa kita tidak belajar daripada kisah lalu, dan kenapa kita mengulang kembali peristiwa lalu itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pairan mengumumkan bahawa PBS menarik diri daripada BN dan menawarkan untuk menerajui platform baharu bagi keterlibatan politik dalam kalangan parti-parti yang sehaluan di Sabah.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya, di peringkat negeri dan Persekutuan, adalah jelas bahawa platform BN bukan lagi gabungan politik yang berdaya maju.

"PBS akan terus menyokong kerajaan yang dibentuk secara sah dan kepimpinan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah, dan menawarkan parti itu sebagai platform tunggal untuk semua wakil rakyat kerajaan negeri boleh menjadi anggota PBS bagi meneruskan perjuangan politik dan berkhidmat untuk rakyat.

"Modelnya ialah PBS campur iaitu PBS campur STAR. Semua wakil rakyat yang dipilih dari UMNO, UPKO dan PBRS, dan penyokong mereka, dijemput untuk menyertai PBS secara langsung sebagai anggota parti," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Pairin berkata pemimpin dan penyokong STAR akan kekal dalam parti mereka sendiri.

Comment