Shafie ke pejabat Ketua Menteri PPNS, Jeffrey Kitingan TKM ke pejabat Menteri Pertanian
13:05 May 14, 2018  |  By SabahKini2
Shafie ke pejabat Ketua Menteri PPNS, Jeffrey Kitingan TKM ke pejabat Menteri Pertanian

Kemelut drama politik Sabah makin berlarutan.

KOTA KINABALU: Dalam suasana ketidaktentuan Kerajaan Negeri selepas memiliki dua Ketua Menteri, Ketua Menteri Kedua Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba untuk memulakan tugas rasmi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini dengan diiringi kawalan keselamatan polis.

Mengiringi beliau ialah Pengerusi PH Sabah, Christina Liew dan Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking.

Beliau yang tiba pada jam 10.45 pagi disambut Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Pemimpin lain yang hadir ialah Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau yang sebelum ini mengumumkan UPKO keluar Barisan Nasional (BN) dan menyokong serta bekerjasama dengan pakatan WARISAN-PH bagi membentuk kerajaan negeri.

Beberapa bekas ADUN BN termasuk dua ADUN UPKO iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian) turut menyambut ketibaan Mohd Shafie. Turut menyambut beliau ialah ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar yang sebelum ini keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan WARISAN-PH.

 ADUN lain ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu) dan Datuk Abduk Muis Picho (Sebatik) yang sebelum ini daripada UMNO menyokong pakatan WARISAN-PH.

 Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman juga kelihatan menyambut Mohd Shafie.

Mohd Shafie mengangkat sumpah Ketua Menteri kelmarin apabila pakatan WARISAN-PH mendapat majoriti mudah 35 kerusi selepas Adun BN melompat parti (walaupun mereka menandatangani deklarasi menyokong Musa sebelum ini) membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada pakatan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah Ketua Menteri pada Khamis lalu belum meletak jawatan, malah menjelaskan beliau masih Ketua Menteri yang sah.Musa bersama anggota Kabinet yang mengangkat sumpah bersamanya turut mengadakan mesyuarat pertama Kabinet pada Sabtu lalu menunjukkan Kerajaan Negeri telah berfungsi.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Jeffrey Kitingan turut datang ke pejabatnya di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri. Sebelum ini Pairin dan Jeffrey mengesahkan ketua menteri Tan Sri Musa Aman masih sah sebagai Ketua Menteri berdasarkan perlembagaan negeri.

 

1 Comment