Bukan Mengenai Kuasa Tapi Sebab Patuh Perlembagaan Negeri- Masidi
22:05 May 19, 2018  |  By SabahKini2
Bukan Mengenai Kuasa Tapi Sebab Patuh Perlembagaan Negeri- Masidi

Menurut pengamal undang-undang dan pakar perlembagaan termasuklah bekas Peguam Negeri Sabah, Musa memiliki majoriti mudah dengan sokongan 31 ADUN apabila 2 ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama-sama 2

KENYATAAN MEDIA 

Bukan Mengenai Kuasa Tapi Kepatuhan Terhadap Peraturan Perundangan dan Perlembagaan Negeri Sabah

Tindakan mahkamah yang diambil oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa bukannya kerana gila kuasa ingin menjadi Ketua Menteri, sebaliknya adalah demi menghormati serta mematuhi undang-undang dan Perlembagaan Negeri Sabah. Ia juga perlu untuk membolehkan Mahkamah menentukan dan memberi tafsiran perundangan berkenaan dengan kuasa TYT Yang DiPertua Negeri di bawah Perlembagaan dalam hal perlantikan Ketua Menteri.

Menurut pengamal undang-undang dan pakar perlembagaan termasuklah bekas Peguam Negeri Sabah, Musa memiliki majoriti mudah dengan sokongan 31 ADUN apabila 2 ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran bersama-sama 29 ADUN BN, ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada malam 10 Mei 2018.

Sebarang tuduhan mengenai STAR yang kononnya melompat atau digelar katak, tiada sesiapa boleh menafikan hak dan kebebasan bersuara mereka di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Memandangkan mereka merupakan pihak yang akan menjadi penentu antara 29 kerusi di bawah Barisan Nasional dan 29 kerusi di bawah pakatan Warisan-PH, maka mereka bebas untuk memilih pihak yang mana untuk membentuk kerajaan Sabah. Pihak mana pun yang mereka pilih, akan menjadi kerajaan yang sah dengan majoriti mudah 31 kerusi.

Walaupun Ketua Menteri telah dilantik dengan sah di sisi undang-undang, wujud pula gerakan memujuk serta mendorong ADUN-ADUN tertentu untuk melompat parti untuk menggugat kestabilan kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat, yang mana ianya boleh dianggap sebagai bercanggah dengan perlembagaan dan merupakan satu penghinaan terhadap proses demokrasi serta pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat yang telah mengundi mereka.

Tindakan mahkamah yang difailkan oleh Musa juga merupakan peluang baik buat Mahkamah untuk sekaligus menentukan sempadan bidang kuasa TYT Yang DiPertua Negeri yang merupakan Ketua Negeri berdasarkan Perlembagaan (dan yang bertindak atas nasihat Ketua Menteri dan Kabinetnya) dalam melantik Ketua Menteri yang lain dalam masa beberapa hari setelah Ketua Menteri yang pertama mengangkat sumpah secara sah di sisi undang-undang.

Tidak kira apa pun yang akan diputuskan oleh mahkamah, semuanya ini adalah semata-mata bagi menghormati Peraturan Undang-undang, Perlembagaan Sabah dan bidang kuasa TYT Yang DiPertua Negeri selepas perlantikan seseorang Ketua Menteri serta Kabinetnya. Undang-undang harus dibenarkan berjalan tanpa sebarang cubaan untuk campur tangan. Semua pihak haruslah menerima dan menghormati keputusan yang ditentukan oleh Mahkamah itu nanti.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun
ADUN Karanaan

19 MEI 2018

20 Comments