Krisis Politik Sabah: Keputusan Mahkamah Sebagai Penyelesaian - Pensyarah UiTM
17:05 May 21, 2018  |  By SabahKini2
Krisis Politik Sabah: Keputusan Mahkamah Sebagai Penyelesaian - Pensyarah UiTM

Perebutan kuasa politik di Sabah bukanlah pertama kali berlaku. Jika ditinjau sejarah politik negeri ini, berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan perebutan dan peralihan kuasa dan kepimpinan kerajaan.

MALAYSIA baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Imum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Malaysia telah berjaya melaksanakan salah satu fungsi demokrasi dengan memberikan hak kepada rakyat untuk memilih dan memberi mandat kepada kerajaan baharu.

Dalam politik negara, PRU-14 telah melakar satu sejarah yang besar apabila pemerintah terdahulu iaitu Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah di peringkat nasional semenjak negara ini mencapai kemerdekaan.

BN telah mengalami kekalahan yang tidak disangka apabila gagal mendapat majoriti mudah di Parlimen dengan hanya memenangi 79 kerusi daripada 222 kerusi. Sistem elektoral yang mengamalkan sistem majoriti mudah atau dikenali sebagai first past the post system, telah memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baru dengan memperolehi 113 kerusi.

Ini turut disokong Parti Warisan di Sabah yang memenangi lapan kerusi Parlimen manakala dua lagi kerusi daripada calon Bebas. Turut berlangsung dalam PRU-14 ini ialah pilihan raya negeri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kecuali negeri Sarawak.

Di peringkat negeri, PH telah berjaya menguasai sekurang-kurangnya tujuh buah negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Jumlah ini kemungkinan akan berubah kerana negeri Sabah pada ketika ini dikuasai oleh Warisan yang membentuk kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan dan parti United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO).

Rencana ini tertumpu kepada krisis politik dan kepimpinan yang sedang berlaku di Sabah meskipun PRU-14 telah pun melabuhkan tirainya pada 9 Mei yang lalu.

Krisis Dan Persaingan Kuasa

Pada 10 Mei 2018, kepimpinan BN dikejutkan dengan pengumuman Parti UPKO untuk keluar daripada BN dan menyatakan sokongan mereka kepada Warisan untuk bergabung membentuk kerajaan. Ini bermakna, lima ADUN dari UPKO telah beralih sokongan mengikut keputusan kepimpinan parti tersebut. Pada masa yang sama, Tan Sri Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin. Upacara ini berlangsung pada pukul 11.05 malam di Istana Negeri.

Pada masa yang sama, sepuluh orang ADUN turut mengangkat sumpah sebagai kabinet negeri. Sejurus selepas Musa disahkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru, beliau melantik tiga Timbalan Ketua Menteri manakala tujuh lagi menteri di dalam Kabinet baharu negeri Sabah.

Meskipun UPKO telah menyatakan keputusan mereka keluar daripada BN, Musa tetap yakin bahawa lima ADUN UPKO tetap bersama BN dan ini turut dinyatakan sendiri oleh beberapa ADUN tersebut dalam sidang media bersama Musa. Selain itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk menamakan enam ADUN dilantik seperti yang ada diperuntukan dalam Bahagain II Artikel 14 (1) (c) Perlembagaan Negeri Sabah.

Kerajaan negeri yang baharu dibentuk di bawah pimpinan Musa bagaimanapun berhadapan dengan krisis politik dan kehilangan majoriti mudah. Kurang daripada 24 jam selepas Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, dua ADUN daripada UPKO telah membuat pusingan ‘U’ apabila menyatakan pendirian mereka yang sebenar untuk bersama dengan kepimpinan parti mereka.

Maknanya, kerajaan pimpinan Musa sudah kehilangan dua kerusi. Umpama jatuh ditimpa tangga, empat lagi ADUN daripada UMNO telah mengisytiharkan untuk keluar daripada UMNO dan menyertai parti Warisan.

Dengan enam ADUN yang beralih sekongan kepada Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ia melayakkan Warisan dengan gabungan PH dan UPKO membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Pada 12 Mei 2018, jam 9.15 malam, Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar. Persaingan kuasa politik negeri Sabah tidak terhenti dan selesai begitu sahaja meskipun kerajaan gabungan baharu Warisan-PH dan UPKO telah memperoleh sekurang-kurangnya 35 kerusi dan dijangka akan bertambah lagi berikutan dengan beberapa lagi ADUN UPKO dan UMNO menyatakan sokongan mereka kepada Warisan.

Bagaimanapun Musa yang mengangkat sumpah terdahulu menafikan bahawa beliau telah meletak jawatan dan bertegas bahawa beliau masih lagi Ketua Menteri Sabah yang sah.

Kes Persaingan Kuasa Menjadi Rujukan

Perebutan kuasa politik di Sabah bukanlah pertama kali berlaku. Jika ditinjau sejarah politik negeri ini, berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan perebutan dan peralihan kuasa dan kepimpinan kerajaan.

Pada tahun 1985, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah berhadapan dengan krisis politik apabila berlakunya konspirasi menghalang PBS menubuhkan kerajaan dan ia didalangi oleh pemimpin USNO dan Berjaya ketika itu. Tun Mustapha telah berjaya mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohammed Adnan Robert pada ketika itu.

Tindakan berani Tun Mustapha pada ketika itu dipercayai berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Negeri yang membolehkan Ketua Menteri melantik enam ADUN yang mempunyai kuasa mengundi penuh di DUN. Walaupun Tun Mustapha berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah tetapi dengan campur tangan Kerajaan Persekutuan, Yang di-Pertua Negeri akhirnya membuat keputusan untuk membatalkan perlantikan Tun Mustapha.

Dalam hal ini, antara perkara yang diketengahkan ialah berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Negeri dan kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri. Kes ini telah dibawa ke mahkamah tinggi oleh Tun Mustapha untuk mencabar kerajaan PBS dan juga menafikan kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri dalam hal perlantikan beliau dengan merujuk kepada Artikel 7 (1) Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Ketua Menteri yang dilantik secara sah tidak boleh dilucutkan kecuali melalui undi tidak percaya di DUN.

Maklumat terperinci berkenaan kes ini boleh rujuk pada kes Tun Datuk Mustapha bin Datu Harun v. Tun Adnan Robert & Another (1987,471). Pada tahun 1994, sekali lagi krisis politik berlaku di Sabah dan boleh dijadikan sebagai salah satu rujukan. PBS telah berjaya menubuhkan kerajaan semula dengan kemenangan majoriti mudah. Bagaimanapun, kerajaan PBS semakin lemah apabila beberapa ADUN meninggalkan PBS untuk menyertai BN.

Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memutuskan untuk membubarkan DUN (meskipun persidangan pertama belum bermula) tetapi Yang di-Pertua Negeri enggan membubarkan DUN dan memberi alasan bahawa memandangkan BN mempunyai majoriti, maka BN seharusnya diberi peluang untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, Pairin secara ‘terhormat’ meletak jawatan dan menyerahkan jawatan Ketua Menteri kepada Tun Sakaran Dandai. Selain daripada dua kes persaingan politik yang berlaku di Sabah, kes krisis Perlembagaan Negeri Sarawak 1966 juga antara kes yang mungkin boleh dijadikan rujukan.

Kes ini melibatkan Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang dilucutkan jawatan Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Kalong Ningkan telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi. Keputusan mahkamah menyebelahi Kalong Ningkan dan jawatan Ketua Menteri dikembalikan semula kepada beliau. Kemelut politik Perak turut mempunya persamaan dengan krisis yang sedang berlaku di Sabah pasca PRU-14.

Pada Pilihan Taya Umum 2008, kerajaan campuran Pakatan Rakyat (PR) telah menawan Perak daripada BN dengan kemenangan majoriti mudah. Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik menjadi Menteri Besar Perak namun hanya seketika apabila beliau kehilangan majoriti mudah disebabkan peralihan sokongan terhadap kepimpinannya.

Peralihan kuasa berlaku apabila Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir daripada BN kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, Mohammad Nizar membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi manakala Dr. Zambri membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Akhirnya kes ini telah dibawah ke Mahkamah Persekutuan dan keputusan mahkamah telah memihak kepada Dr. Zambri.

Badan Perundangan Sebagai 
 Jalan Penyelesaian

Krisis politik yang berlaku di Sabah masih belum menemui jalan penyelesaian. Mohd Shafie telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu dan telah memulakan tugas pada 14 Mei 2018. Beliau juga telah mengumumkan barisan Kabinet Negeri Sabah yang terdiri daripada gabungan Warisan-PH-UPKO.

Mohd Shafie sekali lagi menyatakan bahawa beliau adalah ketua menteri yang sah manakala Musa wajar meletak jawatan dan turut menyangkal dakwaan Sabah mempunyai dua ketua menteri.

Untuk rekod, pihak Istana Negeri Sabah juga telah menghantar surat kepada Musa yang menyatakan beliau bukan lagi ketua menteri berkuat kuasa pada 12 Mei 2018.

Namun, pada 18 Mei 2018, Musa memfailkan saman terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar dan Ketua Menteri Mohd Shafie untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Jelasnya kemelut politik Sabah yang sedang berlaku tidak mampu diselesaikan secara rundingan meja bulat mahupun pendekatan secara ‘budiman’ oleh Musa.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik ialah melalui badan perundangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengimbang tara aspek teknikal peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Penutup

Pemerhati politik khususnya di negeri Sabah mengaitkan krisis politik yang sedang berlaku di negeri ini sebagai ulangan sejarah politik Sabah yang lalu setiap kali berlakunya peralihan kerajaan parti pemerintah. Krisis politik Sabah pasca PRU-14 sekali lagi menguji sistem perundangan negara, selain mengetengahkan dinamika politik negeri Sabah yang sentiasa menjadi fokus penyelidik dan pemerhati politik.

Tidak dinafikan bahawa sistem majoriti mudah dan sistem berbagai parti (multiparty system) yang diamalkan di Malaysia adalah penyumbang kepada berlakunya krisis politik dan persaingan kuasa apabila kerajaan tidak dapat dibentuk oleh mana-mana parti politik yang bertanding dalam pilihan raya disebabkan ketiadaan majoriti (seri). Oleh itu ia memerlukan gabungan atau pakatan untuk membentuk kerajaan.

Kes-kes persaingan kuasa yang pernah berlaku di Sabah dan di negeri Sarawak dan Perak sudah pasti bakal menjadi rujukan dalam menentukan keabsahan jawatan ketua menteri dan kabinet negeri Sabah.

Jelasnya, rakyat negeri ini sudah mulai dan turut mengikuti perkembangan politik lokal yang pastinya memberi pengetahuan tentang politik dan pilihan raya serta meningkatkan kesedaran politik mereka.

Tony Paridi Bagang
Penulis ialah Pensyarah Kanan

Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sabah.

-Sumber : Utusan Malaysia

1 Comment