SPRM serbu rumah Azeez rampas wang RM500 ribu dan barang kemas isteri
13:05 May 23, 2018  |  By SabahKini2
SPRM serbu rumah Azeez rampas wang RM500 ribu dan barang kemas isteri

Sehari selepas sidang media KP SPRM mendedahkan siapa Azeez Rahim hari ini rumahnya diserbu.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu 3 lokasi dikaitkan dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang dipercayai berkaitan projek ditawarkan kepada Lembaga Tabung Haji diketuainya.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud yang dipetik Berita Harian, mengesahkan serbuan itu, tetapi tidak menyatakan sama ada Azeez ditahan.

Sumber SPRM yang dipetik Bernama berkata, serbuan itu dilakukan serentak di 3 lokasi bermula 12.30 tengah hari semalam dan sejumlah wang tunai turut dirampas di salah satu lokasi itu.

Selain rumah Azeez di Subang dan Baling, SPRM turut memeriksa pejabat Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

Sementara itu Azeez mengesahkan bahawa pejabat parlimen dan rumahnya di Baling, Kedah diserbu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.


Rumah Azeez di Baling

Ketika dihubungi, Abdul Azeez bagaimanapun berkata dia perlu menyemak semula jumlah wang tunai dan barangan kemas yang dilaporkan dirampas kerana dia tidak berada di rumah ketika kejadian.

"Mungkin ada wang tunai (yang dirampas). Saya perlu semak semula kerana saya tak ada di rumah di Baling.

"Saya akan semak dan maklumkan semula," kata pengerusi Lembaga Tabung Haji itu 

Abdul Azeez berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Malay Mail yang memetik sumber SPRM sebagai berkata bahawa pegawai siasatan merampas lebih setengah juta wang tunai, beberapa dokumen dan barang kemas ketika serbuan berkenaan.

Diminta mengulas lanjut, Azeez hanya berkata "saya tidak tahu."

Dia bagaimanapun berikrar akan memberikan kerjasama penuh berhubung siasatan SPRM itu.

"Sudah tentu (saya akan beri kerjasama). Tapi mereka tidak maklumkan sama ada mereka akan panggil saya," katanya.

SPRM dikatakan merampas wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 jam tangan, dan lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan nilai tukaran sekitar RM1.2 juta.

Sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM semalam mendedahkan Ahli Parlimen Baling cuba merasuahnya.

Comment