Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan itu diambil memandangkan pelaksanaannya yang bermula pada 2013 oleh kerajaan terdahulu berjaya memberikan impak positif dalam soal keselamatan.

"Direkodkan, kadar jenayah di perairan pantai timur juga semakin berkurangan dengan adanya perintah berkurung.

"Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan ini sama ada wajar dilanjutkan ataupun tidak supaya kita dapat mengatasi ancaman daripada pihak yang  tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, pimpinan negeri, pegawai-pegawai dan anggota PDRM negeri.

Terdahulu, Mohd. Shafie turut melakukan taklimat tertutup bersama Ramli dan pegawai-pegawai kanan PDRM Sabah.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan akan turut membenarkan semula penggunaan bot pam di kawasan pesisir pantai bagi membantu golongan nelayan mencari rezeki.

"Ini disebabkan, sebahagian besar nelayan tidak mampu untuk membeli enjin bot mahal yang berkapasiti 25 hingga 75 kuasa kuda.

"Bagaimanapun, sekiranya langkah membenarkan semula penggunaan bot pam menjadi senjata pihak anasir jahat maka  kerajaan akan menghasilkan bot pam sendiri untuk mengejar mereka di perairan cetek," jelasnya. - UTUSAN ONLINE