“Tidak begitu serius kita boleh tunggu sehingga Musa pulang"- Pesuruhjaya Polis Sabah
18:05 May 31, 2018  |  By SabahKini2
“Tidak begitu serius kita boleh tunggu sehingga Musa pulang

Pesuruhjaya polis itu juga menafikan polis akan meminta bantuan daripada Interpol bagi mengesan kedudukan Musa di London, kerana beliau dipercayai berlepas ke England. “Tidak. Ia ini tidak begitu serius…

PENAMPANG: Polis masih belum merakamkan kenyataan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman susulan laporan polis yang dibuat Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata polis percaya pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sudah meninggalkan negeri ini, sejak 14 Mei lepas.

Beliau, bagaimanapun tidak menyatakan Musa pergi ke mana.

“Kami (polis) sudah cuba menghubungi beliau (Musa) melalui pelbagai saluran dan kami mendapat maklum balas, dia akan kembali (ke Sabah). Tetapi tidak tahu bila,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Pesta Kaamatan hari ini.

Ditanya sama ada waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Musa, Ramli berkata perkara itu bukan prosedur polis kerana kenyataan daripada Musa masih diperlukan dalam siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Juhar.

Pesuruhjaya polis itu juga menafikan polis akan meminta bantuan daripada Interpol bagi mengesan kedudukan Musa di London, kerana beliau dipercayai berlepas ke England.

“Tidak. Ia ini tidak begitu serius… kita hanya perlu merakam kenyataan beliau (Musa) dahulu. Kita boleh tunggu (sehingga Musa pulang),” katanya.

Pada 19 Mei lepas, Juhar membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai ada kaitan tentang intimidasi jenayah terhadap beliau.

Laporan polis itu dibuat 2 hari selepas Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi terhadap Juhar dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal bagi memohon pengisytiharan beliau kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah 31 daripada 60 kerusi pada pilihan raya umum ke-14 apabila 2 wakil rakyat pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada BN Sabah yang memenangi 29 kerusi.

Bagaimanapun, 2 hari kemudian, Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas beberapa Adun BN beralih sokongan kepada Warisan dan gabungan Pakatan Harapan, yang juga memenangi 29 kerusi.

 

Comment