Sidang Dun Khas tidak masuk akal, tindakan Mahkamah tetap diteruskan
06:06 Jun 12, 2018  |  By SabahKini2
Sidang Dun Khas tidak masuk akal, tindakan Mahkamah tetap diteruskan

Sidang Khas DUN itu sebagai usaha menggagalkan tindakan mahkamah yang diambil oleh Musa kerana menjadi pengetahuan umum bahawa ianya belum lagi diputuskan oleh Mahkamah

KENYATAAN AKHBAR PEGUAM TAN SRI MUSA AMAN

Kota Kinabalu: "Tanpa mengira Sidang Khas Dewan Undangan Negeri pada 11 Jun yang dibuat tanpa mengikuti lunas perundangan itu, Tan Sri Musa Aman Aman akan tetap meneruskan tindakan mahkamah yang difailkan beliau untuk mengisytiharkan antara lain, bahawa beliau merupakan Ketua Menteri Sabah yang sah dan bukannya Datuk Seri Shafie Apdal, serta beberapa perkara lain berkaitan termasuk perisytiharan bahawa segala tindakan dan perkara yang dilakukan oleh Datuk Seri Shafie selepas mengangkat sumpah pada 12 Mei 2018 sebagai terbatal dan tidak sah."

Meskipun begitu, Tan Sri Musa telah mengarahkan kami, pasukan guaman beliau yang berada di Sabah, untuk meneliti serta mempertimbangkan sama ada perlu ataupun tidak untuk membuat pindaan ke atas Saman Pemula yang telah difailkan dan memasukkan isu Persidangan Khas DUN yang jelas melanggar Undang-Undang," kata Tengku Fuad mewakili Tan Sri Musa selepas Permohonan Injunksi yang diajukan oleh Tetuan FT Ahmad & Co bagi pihak Datuk Jahid Jahim didengar oleh mahkamah.

"Anak guam saya melihat bahawa Sidang Khas DUN itu sebagai usaha menggagalkan tindakan mahkamah yang diambil oleh beliau kerana menjadi pengetahuan umum bahawa ianya belum lagi diputuskan oleh Mahkamah," kata Tengku Fuad lagi.

Adalah tidak masuk akal untuk Sidang Khas DUN itu diadakan kerana masih wujud konflik di antara dua (2) Ketua Menteri yang dilantik.

"Siapa yang sepatutnya diarahkan oleh Speaker untuk duduk di kerusi pemerintah?"

Tambah tidak masuk akal lagi bagi Speaker untuk meletakkan Ketua Menteri yang tidak sah dan dilantik secara menyalahi undang-undang itu untuk duduk di kerusi kerajaan memandangkan beliau mengangkat sumpah terkemudian pada masa Tan Sri Musa telah pun lebih dahulu dilantik dan menduduki kerusi sebagai Ketua Menteri yang sah.

Untuk berbuat demikian dan meletakkan Datuk Seri Shafie di kerusi kerajaan (pemerintah) samalah seperti Speaker mengambil tindakan mendahului mahkamah sedangkan kuasa menentukan perkara itu adalah hak serta tanggungjawab yang sepatutnya diperuntukkan bagi Mahkamah memandangkan saman ke atasnya telah difailkan dan sedang menunggu pendengaran.

Seperti yang dinyatakan oleh anak guam saya, beliau menegaskan bahawa tindakan mahkamah ini adalah mengenai penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan Sabah, dan juga bidang kuasa TYT Yang DiPertua Negeri selepas perlantikan Ketua Menteri dan Kabinetnya terhadap sebarang upacara mengangkat sumpah secara menyalahi undang-undang oleh Ketua Menteri yang kedua serta rampasan kuasa yang tidak demokratik melalui aktiviti lompat parti dan juga perubahan kerjasama oleh ADUN yang asalnya dipilih atas platform (parti) yang berbeza oleh pengundi.

Tak kira apa pun hasilnya nanti, Tan Sri Musa berharap agar undang-undang dibenarkan berjalan mengikut lunasnya dan keadilan tercapai tanpa sebarang gangguan dari luar.

Tetuan F.T. Ahmad & Co.
Peguamcara untuk Tan Sri Musa Haji Aman
11 Jun 2018

2 Comments