Upacara Angkat Sumpah DUN Ke-2 boleh jejaskan status Adun lain kata Peguam
11:06 Jun 18, 2018  |  By SabahKini2
Upacara Angkat Sumpah DUN Ke-2 boleh jejaskan status Adun lain kata Peguam

Majlis angkat sumpah yang pertama melibatkan 39 ADUN yang lain sewaktu Sidang Khas dibuat itu akan diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah apabila Musa memenangi kesnya dan Mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Ketua Menteri yang sah.

KOTA KINABALU, 18 Jun: Majlis angkat sumpah kedua yang melibatkan 19 ADUN pro terhadap Tan Sri Musa telah menyebabkan 39 ADUN yang lain termasuk Datuk Seri Shafie Apdal berhadapan dengan situasi yang agak terhimpit dan boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam Dewan.
 
Sebelum ini saya pernah menyatakan bahawa Persidangan Khas DUN yang dibuat pada 11 Jun lalu adalah diragui tidak sah di sisi undang-undang, malah ia pula secara langsung menjadi perakuan bahawasanya Musa adalah Ketua Menteri Sabah yang sah. Lebih-lebih lagi bilamana majlis angkat sumpah yang kedua telah dilakukan dengan betul di hadapan Speaker sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan negeri Sabah.
 
Perlembagaan Sabah hanya menggariskan untuk ianya dilakukan di hadapan Speaker Dewan dan tiada sebarang keperluan untuk ianya dibuat di hadapan Yang DiPertua Negeri atau dengan kehadiran seorang Ketua Menteri, jika ada.
 
Berlainan dengan majlis angkat sumpah yang kedua, majlis angkat sumpah yang pertama melibatkan 39 ADUN yang lain sewaktu Sidang Khas dibuat itu akan diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah apabila Musa memenangi kesnya dan Mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Ketua Menteri yang sah.
 
Perisytiharan itu akan menyebabkan Shafie menjadi Ketua Menteri yang tidak sah dan menyalahi undang-undang, serta segala tindakan yang diambil selepas pelantikannya juga akan dianggap sebagai menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
 
Sekiranya ini terjadi, seramai 39 orang ADUN akan berdepan dengan risiko kehilangan kerusi mereka sekiranya mereka gagal mengangkat sumpah sebagai ADUN dalam majlis angkat sumpah yang sah, mengikut tempoh yang diperuntukkan dalam Perkara 22 (2) Perlembagaan Sabah.
 
Perkara 22 (2) menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengambil tempat duduknya (yang bermaksud mengangkat sumpah) dalam masa tiga bulan daripada tarikh Persidangan pertama Dewan yang diadakan selepas pilihan raya, atau dalam apa-apa tempoh selanjutnya sebagaimana yang dibenarkan oleh Dewan (speaker). Kegagalan mematuhinya akan mengakibatkan kerusi mereka diisytihar sebagai kosong.
 
Justeru, pilihan raya kecil perlu diadakan semula bagi 39 kerusi yang dipegang oleh ADUN yang mengangkat sumpah secara tidak sah pada 11 Jun tersebut, yang seterusnya gagal melakukannya dengan betul selepas tiga bulan di bawah Perkara 22 (2).
 
Memandangkan tindakan mahkamah Musa masih belum selesai di Mahkamah serta kesahihan Sidang Khas masih belum diputuskan, adalah menarik untuk kita duduk dan menonton apa bakal terjadi kepada 39 ADUN seperti yang tersebut di atas.
 
Henry Gudid
Peguambela & Peguamcara, Sabah

4 Comments