Rumah Siap Pahat Berbunyi: Parti Warisan terus pertikai kemenangan Anifah
20:06 Jun 18, 2018  |  By SabahKini2
Rumah Siap Pahat Berbunyi: Parti Warisan terus pertikai kemenangan Anifah

Kredibiliti YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman sebagai wakil rakyat Kimanis dan apa yang telah beliau laksanakan bukan sahaja di peringkat Kimanis bahkan demi kita rakyat Malaysia di peringkat dunia.

Oleh- TUAN HAJI ABDUL JALIL BIN ABDUL GANI

Tidak dinafikan bahawa pelbagai kejutan telah berlaku sewaktu PRU14 kali ini. Kekalahan Barisan Nasional tidak pernah disangka sekaligus menghentikan fitnah serta dakwaan bahawa kononnya proses Pilihan Raya di Malaysia tidak telus dan tidak dilaksanakan secara adil dan saksama. Buktinya adalah apabila pihak yang pada ketika itu dikatakan sebagai Pihak Pembangkang dan kononnya tidak mempunyai kuasa menang PRU14.

Walaupun pahit ditelan oleh sesetengah pihak namun begitu rakyat telah bersuara dan memilih. Rakyat kini membuat keputusan serta mengundi bukan sahaja berdasarkan parti tetapi kepada berdasarkan calon yang diketengahkan sebelum membuat keputusan siapa harus mereka undi. Pihak SPR juga telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dan demokrasi berjaya dilaksanakan. Pihak pembangkang pada ketika itu kini merupakan kerajaan pada harini.

Menang atau kalah dalam politik itu adat pertandingan. Baik seseorang itu calon Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, Barisan Nasional (BN), DAP atau pun Bebas. Politik serba mungkin dan di tangan pengundi atau rakyat jatuh bangunnya seseorang pemimpin. Sebab itu dikatakan, politik itu gelombangnya besar dan ganas.

Walaubagaimanapun masih ada sesetengah pihak seperti di Kawasan Kimanis yang enggan menerima kenyataan mahupun kekalahan dan sanggup melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas bukan sahaja kepada pihak SPR bahkan kepada calon yang telah menang itu sendiri. Alasan mereka adalah kerana keputusan kemenangan kali ini amatlah tipis.

Kemenangan Dato' Sri Anifah adalah kemenangan yang jujur tanpa perlu dibangkitkan tentang perolehan undi. Menang tipis atau majoriti, rakyat telah memilih dan itu adalah hakikat.

Kita seringkali mendengar kenyataan menang tetap menang walaupun dengan kelebihan satu undi namun begitu pihak yang kalah tidak mahu menerima realiti kekalahan mereka di Kerusi Parlimen Kimanis dan enggan menerima bahawa rakyat telah bersuara dan masih memilih YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman sebagai wakil mereka di Parlimen berdasarkan pencapaian beliau sebagai wakil rakyat serta pembanguan yang telah dibawa dan perjuangan yang telah beliau suarakan demi kepentingan semua rakyat Sabah mahupun Rakyat Malaysia di persada dunia.

Mari kita sama-sama lihat kredibiliti YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman sebagai wakil rakyat Kimanis dan apa yang telah beliau laksanakan bukan sahaja di peringkat Kimanis bahkan demi kita rakyat Malaysia di peringkat dunia.

YB Dato’ Sri Anifah telah berjaya membawa pelbagai pembangunan, kemajuan serta peluang bagi rakyat di Kimanis. Jika dibandingkan dengan calon yang melawan beliau sewaktu PRU14 yang tidak membawa walaupun satu stesen minyak ke Kawasan Kimanis. Jika disemak keputusan PRU14 kita akan tahu bahawa calon yang menentang YB Dato’ Sri Anifah pada ketika itu yang kononnya merupakan anak tempatan telah kalah di kampung beliau sendiri. Ini bermakna rakyat tidak lagi memandang parti tetapi calon yang diketengahkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman merupakan seorang pemimpin dan wakil rakyat yang berwibawa. Beliau merupakan seorang yang sanggup melawan arus demi kepentingan rakyat khususnya rakyat Sabah. Beliau sanggup bersuara dengan begitu lantang sekali apabila mempertahankan hak-hak rakyat Sabah seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 tanpa memikirkan kepentingan peribadi. Pada ketika tiada siapa yang berani bersuara, YB Dato’ Sri Anifah sanggup bersuara di peringkat persekutuan dan negeri demi kepentingan rakyat Sabah sehingga pada ketika itu. Bahkan beliau mengetepikan fahaman politik ketika itu dan berjaya satukan pelbagai pemimpin tidak kira di pihak pembangkang mahupun Kerajaan demi kepentingan rakyat Sabah yang dicintai beliau. Hasilnya Kerajaan Persekutuan terpaksa akur dan telah memulakan proses pengembalian hak-hak rakyat Sabah seperti yang telah termaktub bukan sahaja dalam Perjanjian Malaysia 1963 bahkan dalam Perlembagaan kita.

Kelantangan YB Dato’ Sri Anifah bukan sahaja dikenali di Malaysia bahkan di persada dunia. Kelantangan beliau serta kepimpinan beliau telah terbukti sekali lagi apabila Malaysia berjaya mencatat sejarah di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dibawah kepimpinan anak Sabah ini berjaya medapat kelulusan Resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin pada tahun 2016. Satu kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana Negara mahupun Menteri Luar sebelum ini.

Jelas sekali perbezaan YB Dato’ Seri Anifah Haji Aman dengan para calon yang menentang beliau pada PRU14 baru-baru ini ibarat langit dengan bumi. Jiwa YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman adalah jiwa demi rakyat dan ini telah terbukti apabila beliau sekali lagi menang pada PRU14 baru-baru ini. Jumlah majoriti tidak harus dijadikan persoalan kerana walupun menang dengan tipis ia tetap dikira menang. Bukan YB Dato’ Sri Anifah seorang sahaja yang pernah menang dengan tipis bahkan ramai calon yang berlainan pendapat serta parti dengan beliau pun pernah menang dengan tipis jua. Ini tidak bermakna bahawa mereka menipu untuk menang. Kemenangan tipis berkemungkinan menggambarkan konflik rakyat samada mengundi berdasarkan parti sahaja ataupun berdasarkan calon.

Sekiranya benar pertuduhan yang dilemparkan maka sudah tentu mustahil bagi Pakatan Harapan yang kini telah membentuk Kerajaan menang PRU14 baru-baru ini.

Banyak pihak harus terbuka hati menerima kemenangan Dato' Sri Anifah dan sekarang adalah masanya untuk bekerja dan bukannya terus memomokkan rakyat dengan isu menang besar atau menang tipis.

Apa guna menang besar jika usaha untuk membangunkan negeri dan memperjuangkan nasib rakyat Sabah sebesar hama?

Biar sekalipun menang tipis tetapi impak membantu rakyat secara keseluruhan yang dilakukan oleh Dato' Sri Anifah tidak ternilai.

Rakyat kini bijak menilai dan tidak lagi memilih berdasarkan parti sahaja. Rakyat juga memilih berdasarkan calon. Pada pendapat saya tidak wajar kita menghukum seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat serta mendahulukan rakyat hanya kerana takut kepada bayang-bayang sendiri.

3 Comments