Bekas KP Perisikan mengaku terima rasuah daripada syarikat dron Malvus Sense Sdn Bhd didenda RM70,000
00:05 May 07, 2021  |  By SabahKini2
Bekas KP Perisikan mengaku terima rasuah daripada syarikat dron Malvus Sense Sdn Bhd didenda RM70,000

Belum pun habis perbicaraan Bekas KP Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Sheikh Moksin Sheikh Hassan mengaku salah terima rasuah daripada syarikat dron Malvus Sense Sdn Bhd. Sheikh Moksin didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

Akhirnya bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Sheikh Moksin Sheikh Hassan yang dituduh di mahkamah bersama dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada ogos tahun lalu dengan 17 pertuduhan menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat Dron- Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd di Kementerian Pertahanan mengaku bersalah menerima benda berharga dalam bentuk perkhidmatan bernilai RM10,000 serta wang tunai RM50,000.

Sheikh Moksin Sheikh Hassan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah menerima rasuah ketika sebutan kes hari ini.

Sheikh Mokhsin mengaku menerima rasuah daripada
Syed Omar Syed Mohamad Pengarah Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd 

Bagi pertuduhan pertama, Sheikh Mokhsin didenda RM55,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan pilihan, dia didenda RM15,000 atau penjara tiga bulan. Dia membayar denda itu.

Mahkamah turut memerintahkan wang yang disita berkenaan kes ini dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sheikh Mokhsin sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan, didakwa dibayar oleh Syed Omar Pengarah Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan bernilai RM10,000.

Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM50,000 untuk dirinya daripada individu sama.


Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bukan 'kaleng-kaleng' jugalah kabel mereka

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi, Kedah dan di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, antara 21 dan 26 Jun 2020.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Sheikh Mokhsin telah menerima perkhidmatan itu sewaktu mengadakan lawatan Ops Benteng di Langkawi. Perkhidmatan dan wang tunai itu diterima berkaitan dengan pembekalan dron daripada Syed Omar Syed Mohamad Pengarah Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd

Peguam Mohd Shahrom Mohamad yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan iaitu sekadar denda untuk anak guamnya, atas alasan Syed Mokhsin telah insaf dan membuat pengakuan salah dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jasa anak guam saya yang telah berkhidmat 41 tahun dalam bidang ketenteraan, termasuk dalam misi United Nations Peacekeeping Operation di Iraq dan selaku Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina.

“Beliau juga telah diminta oleh pihak kementerian untuk bersara lebih awal pada 31 Julai 2020 susulan penangkapan dan siasatan oleh SPRM berkenaan kes ini. Anak guam saya juga penanggung utama keluarga dan ketika ini, beliau masih menanggung isteri dan empat orang anaknya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Siti Norhafizan Zakaria membantah hukuman berbentuk denda mengambil kira faktor kekerapan penularan jenayah rasuah dalam masyarakat.

“Mitigasi tertuduh secara keseluruhan hanya bertumpu pada kepentingan peribadi semata-mata. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada orang awam tentang keseriusan jenayah rasuah,” katanya.

Oktober tahun lalu pendakwaan rasuah terhadap Mohd Azhar Che Mat Dali bekas Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Mat Sabu  RM6.35 juta dan RM130,000 menggemparkan negara dan membuktikan kes rasuah di Kementerian Pertahanan (Kementah) sangat serius. Memburukkan keadaan bekas ketua pengarah perisikan pertahanan Leftenan Jeneral Sheikh Moksin Sheikh Hassan serta dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut didakwa di Mahkamah. Kes ini memalukan Malaysia kerana melibatkan kementerian pertahanan. 

ARTIKEL BERKAITAN- Skandal Rasuah SUPOL Mat Sabu, Pegawai Risikan Pertahanan bahayakan negara ]

Skandal Rasuah SUPOL Mat Sabu, Pegawai Risikan Pertahanan bahayakan negara

 

 

4 Comments