Ismail Sabri umum RM78 juta peruntukan di kawasan bencana di Kedah
11:08 Aug 24, 2021  |  By SabahKini2
Ismail Sabri umum RM78 juta peruntukan di kawasan bencana di Kedah

Kerajaan mengumumkan peruntukan RM78 juta kepada kerajaan Kedah untuk membaiki infrastruktur serta rumah penduduk di daerah ini dan Kuala Muda yang terjejas akibat bencana kepala air.

Lawatan Perdana Menteri Baharu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah sekalipun naratif lawatan itu sangat baik untuk membantu mangsa banjir akibat bencana kepala air namun menjadi objek serangan kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional.

Bermula dari gambar tular menaiki pesawat rasmi kerajaan, rombongan yang terlalu ramai, ‘banner’ lawatan di Kawasan banjir dan gambar rombongan bersesak-sesak melanggar SOP dijadikan laporan dalam media sosial.

Mesejnya satu iaitu menggambarkan teruknya Perdana Menteri yang baharu daripada UMNO-BN selepas beberapa hari dilantik Perdana Menteri.

Hakikatnya itulah Ismail Sabri yang melayan rakyat serta rakan-rakannya. Pada masa depan PM dan pegawainya perlu memperbaiki sedikit tatacara program rasminya dan rakan-rakan yang melawatnya.

Peruntukan RM78 juta

Sesuatu yang sangat baik di ketengahkan kepada rakyat ialah apa yang akan diberi kepada mangsa banjir di Kedah.

Kerajaan mengumumkan peruntukan RM78 juta kepada kerajaan Kedah untuk membaiki infrastruktur serta rumah penduduk di daerah ini dan Kuala Muda yang terjejas akibat bencana kepala air.

Menurut  Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, RM75 juta daripadanya bagi kerja-kerja membaiki pulih infrastruktur manakala tiga juta lagi bagi membaiki rumah penduduk yang terjejas.

“Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi menaik taraf sungai dan sistem saliran, pembinaan dua jambatan baharu (RM23 juta), empangan Sabo Dam (RM20 juta) manakala bagi loji rawatan air di Tupah, Merbok (RM2 juta).

“Bagi projek lain pada saliran iaitu pelancongan desa, infrastruktur bekalan air masyarakat pula kita peruntukan RM25 juta.

“Peruntukan RM3 juta untuk baiki rumah penduduk terjejas pula, kerajaan negeri akan bila penilaian terhadap kerugian yang dihadapi mangsa sebelum bantuan dapat disalurkan,” katanya

Ismail Sabri turut meninjau lokasi bencana di Titi Hayun, Yan serta Merbok yang terjejas akibat fenomena kepala air pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga kerajaan memperuntukkan RM5,000 bagi setiap keluarga.

“Saya lahirkan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat bencana ini tambahan pula kesannya bukan saja membabitkan infrastruktur malah turut meragut nyawa.

“Semua peruntukan yang diumumkan itu akan disegerakan agar dapat membantu Kerajaan Negeri Kedah menyelesaikan isu yang timbul akibat fenomena kepala air ini.

Peruntukan tambahan

“Peruntukan yang diumumkan ini merupakan penilaian awal dan jika ada keperluan lain Menteri Besar (Muhammad Sanusi Md Nor) akan maklumkan semula.

“Saya mahu kerja-kerja pembaikian pulih ini disegerakan kerana ia melibatkan infrastruktur,  kalau lambat baiki akan menyebabkan kerosakan lebih teruk sekali gus menjamin kebajikan penduduk yang terjejas ini,” ujarnya.

Sehingga hari ini, sebanyak enam mangsa disahkan menjadi korban kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Kejadian kepala air itu menyebabkan limpahan air sekaligus mengakibatkan banjir yang disertai lumpur di beberapa kawasan berhampiran Gunung Jerai dan Merbok di daerah Kuala Muda.

 

Comment