Pertama kali dengar PATI jadi pemborong di Keningau kata Menteri Warisan
04:08 Aug 05, 2018  |  By SabahKini2
Pertama kali dengar PATI jadi pemborong di Keningau kata Menteri Warisan

Memberi dokumen sah untuk PATI adalah bakal memberi ruang kepada masalah sosial lain. Mengapa Junz Wong pura-pura terkejut mengenai dakwaan PATI jadi pemborong di Keningau?

KENINGAU- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan pekebun tentang penglibatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam perniagaan borong hasil pertanian di daerah ini.

Menterinya Junz Wong berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan mahu  semua pihak berhenti membekalkan hasil tani mereka kepada pemborong yang dipercayai PATI.

"Datang sini (Sabah) pun secara haram... mereka (PATI) tidak patut terlibat dengan perkara ini. Ini pertama kali saya mendengar aduan seumpama ini.

"Jika aduan ini sahih, kementerian tidak akan berkompromi dan kegiatan ini perlu dibanteras," katanya kepada Bernama pada  Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-97 dan Pembinaan Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan  Cina  Yuk Yin 2018 di sini malam tadi.

Wong berkata pihaknya akan melakukan pemantauan bagi mengenal pasti pemborong-pemborong haram terbabit.

"Setiap aktiviti perniagaan memerlukan lesen, dan ia adalah keperluan wajib yang perlu dipatuhi oleh semua pihak. Kita ada undang-undang yang mewajibkan lesen kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perniagaan borong atau apa juga jenis perniagaan," katanya.

Sebelum ini Persatuan Pekebun Kecil Pedalaman Sabah (Pekebun)  mendakwa aktiviti perniagaan borong hasil tani di Keningau dikuasai oleh orang asing, sekali gus menyebabkan petani tidak mendapat harga yang sepatutnya.

Sebelum ini Kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen khas kepada pekerja asing tidak sah di Sabah untuk menyelesaikan isu kekurangan buruh, terutama dalam sektor perladangan. Bagaimanapun cadangan itu ditentang kuat oleh rakyat Sabah kerana ia menyebabkan lambakan pekerja serta warga asing menyebabkan masalah sosial lain di negeri Sabah.

 

3 Comments