Equanimity: Konflik Kepentingan Firma Tommy Thomas, Mengapa AG tidak lantik firma ZICO?
07:08 Aug 10, 2018  |  By SabahKini2
Equanimity: Konflik Kepentingan Firma Tommy Thomas, Mengapa AG tidak lantik firma ZICO?

Walau apapun alasan Tommy mengenai Sitpah konflik kepentingan telah berlaku memandangkan ada beberapa lagi peguam masih layak. Mengapa AG tidak berani melantik Zaid Ibrahim & Co? Firma itu juga pakar

PETALING JAYA: Selepas dikritik hebat di media sosial berhubung pelantikan Sitpah A/P Selvaratnam, Peguam Negara, Tommy Thomas mempertahankan pelantikan Sitpah dari firmanya Tommy Thomas Advocates & Solicitors mengetuai pasukan peguam mewakili 1MDB dan Putrajaya dalam tuntutannya ke atas kapal pesiaran mewah Equanimity yang menjadi fokus penyiasatan Amerika Syarikat ke atas syarikat pelaburan negara 1MDB.

Dalam kenyataan semalam, Tommy berkata asas paling berkesan untuk melaksanakan bidang kuasa mahkamah ke atas kapal tersebut yang memasuki perairan negara Selasa lepas ialah undang-undang admiraliti atau undang-undang perkapalan.

Tommy menggunakan alasan Sitpah sebagai penyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa Perkapalan dan Admiraliti Majlis Peguam dan presiden pengasas Persatuan Undang-undang Maritim Antarabangsa Malaysia.

Kelemahan Jabatan Peguam Negara

Pendedahan Peguam Negara mengenai pelantikan anak buahnya itu menunjukkan betapa pejabat Peguam Negara mempunyai kekurangan amat besar peguam-peguam yang berpengalaman di jabatan itu. Malah bagi peguam yang mahir dengan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang terbaik setakat ini ialah Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dulu adalah dari Jabatan Peguam Negara.

Tommy mungkin tiada pilihan dan terpaksa melantik para peguam dari firmanya untuk melaksanakan tugas itu. Sumber dari pejabat Peguam Negara memang tidak ada satupun peguam di Pejabat Peguam Negara mampu menguruskan kes undang-undang admiraliti atau undang-undang perkapalan.

Malah mungkin jumlah peguam yang mahir kurang dari 10 orang mampu melakukannya termasuk Sitpah A/P Selvaratnam.

Antara Kepentingan Firma dan alasan negara

Bagi Tommy yang membentuk dan melatih Sitpah Selvaratnam, Sitpahlah peguam pilihan terbaik dan boleh beliau percayai untuk menasihati Pejabat Peguam Negara dalam perkara tersebut.

“Sitpah diiktiraf sebagai pakar admiraliti Majlis Peguam dalam isu berkaitan litigasi dan terlibat dalam banyak kes penahanan kapal dan vesel di mahkamah kita, selain kes pembantahan penahanan dalam kerjaya guaman khusus beliau selama lebih 25 tahun,”

Bagaimanapun jika kita menyemak profail Sitpah beliau hanyalah seorang yang aktif menonjol sekitar tahun 2016 dan 2017 sehingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Undang-undang Maritim Antarabangsa Malaysia (IMSML) iaitu sebuah pertubuhan yang dinaungi oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi. Malah NGO IMSML itu sendiri berhadapan isu-isu undang-undang Maritim Malaysia yang ketinggalan Zaman. Dalam IMSML juga ada peguam dan pengamal undang-undang dalam maritim, mengapa Tommy tidak melantik saja rakan-rakan peguam Sitpah?

Semakan dalam Majlis Peguam Malaysia Sitpah masih berkhidmat di firma guaman Tommy Thomas. Tidak dipastikan apakah ketika kontroversi konflik kepentingan maka Sitpah meletakkan jawatan dan kini tidak lagi berada dalam firma Tommy Thomas. 

Alasan Tommy ialah prosiding guaman itu perlu diambil kira untuk kepentingan Malaysia.

“Justeru, kita berhak memanfaatkan peguam perkapalan Malaysia yang terbaik.

“Tidak timbul isu konflik kepentingan kerana kita berada di pihak yang sama. Tidaklah munasabah sekiranya Malaysia dinafikan khidmat Sitpah semata-mata kerana beliau pernah berkhidmat dengannnya”. Kata Tommy

Kebimbangan netizen dan NGO wajar diambil kira. Pengerusi sekretariat peguam muda Pemuda Umno Nik Saiful Adli Burhan dan Dato’ Dr Najmil Exco Pemuda UMNO misalnya menyuarakan kebimbangan bahawa pelantikan itu boleh menyebabkan berlakunya konflik kepentingan.

Walau apapun alasan Tommy unsur kepentingan telah berlaku memandangkan ada beberapa lagi peguam masih layak. Melainkan tiada langsung peguam yang boleh digunakan. Tiada siapa mempersoalkan Jeremy Joseph dan Ong Chee Kwan jika mereka juga adalah pakar.

 

Zaid Ibrahim & Co dan bayaran Sitpah

Sumber dalaman pejabat Peguam Negara juga mendedahkan bahawa firma guaman dari Zaid Ibrahim & Co antara firma yang paling berpengalaman boleh melakukan konsultan undang-undang admiraliti atau undang-undang perkapalan.

Persoalannya mengapa Peguam Negara tidak berani melantik peguam dari Zaid Ibrahim & Co (ZICO)?. Tidak sebulu atau tidak dipercayai?

Tommy seharusnya berkata benar berhubung soal pembayaran berhubungan pelantikan Sitpah.

Apakah benar litigasi kompleks dan melibatkan taruhan setinggi RM1 bilion, Joseph dan Ong dari firma guaman Joseph & Partners dibayar fi berkadar komersil biasa serta Sitpah pula berkhidmat secara percuma?

“Sitpah tidak akan dibayar apa-apa fi. khidmatnya kepada kita tidak melibatkan wang pembayar cukai.” kata Tommy.

Anda percaya ia percuma? sedangkan kedua-dua peguam ini  Sitpah dan Joseph menolak tawaran pihak asing supaya mereka mewakili dalam perkara yang sama. 

Strategi Tommy Thomas dan Jabatan Peguam Negara

Hakikatnya mereka yang mahir dalam perundangan melihat Tommy Thomas hanya menyusun strategi. Tommy tahu mereka tak mungkin menang untuk melawan pemilik kapal Equanimity itu. Namun beliau memegang semua orang dalam Majlis Peguam, para peguam yang mahir dalam bidang perkapalan bagi mengelakkan lawan tidak mempunyai peguam yang pakar di dalam negara.

Jadi ada kemungkinan Pejabat Peguam Negara membayar fi yang mahal kepada Sitpah dan peguam yang dilantik Tommy melawan pemilik kapal yang kaya-raya. isi utama Tommy Thomas ialah menunaikan hasrat dendam Dr Mahathir 100 hari. Jika bukan sumber Peguam Negara mereka dibayar dengan dana mana?

Sebagaimana pengakuan Peguam Negara bahawa ujian kepakaran Sitpah akan dapat dilihat jika dan apabila ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan kapal mewah itu atau mana-mana pihak lain memfailkan permohonan untuk mengetepikan waran penahanan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Hujah daripada kedua-dua pihak akan didengar oleh mahkamah berdasarkan merit masing-masing dan oleh itu Malaysia memerlukan khidmat peguam terbaik.”. kata Tommy

Tommy Thomas juga sedar kes ini akan mengheret masa yang panjang. Lantaran itu Sitpah dan Jeremy Joseph mengaku mereka memerlukan tempoh enam hingga sembilan bulan diperlukan mahkamah bagi mengenalpasti hak pemilikan sebenar kapal mewah 'The Equanimity'. Tumpuan mereka ialah kepada deklarasi pemilikan kapal itu. 

"Kita menjangkakan proses siasatan itu akan memakan masa antara enam hingga sembilan bulan, namun yakin ia dapat segera diselesaikan.

Bagaimanapun para pakar perundangan melihat ia tidak mungkin selesai dalam 9 bulan kerana amat sukar membuktikan Equanimity kemungkinan milik Jho Low diperolehi dari hasil 1MDB. Urusan 'money trail' 1MDB yang disiasat SPRM pun sudah menjangkau bertahun-tahun. SPRM sendiri mempunyai masalah tersendiri membuktikan siasatan mereka.

Kapal mewah berharga AS$250 juta itu, Equanimity kini ditahan di terminal Pusat Kapal Persiaran Bousted di Pulau Indah Selasa lepas.

Dipercayai kerajaan Indonesia yang menyita kapal itu sebelum ini atas permintaan pihak berkuasa AS awal tahun ini memutuskan untuk menyerahkannya kepada Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jakarta Jun lepas.

Sebelum ini pada 17 April 2018 Mahkamah Indonesia mendapati kapal layar mewah Equanimity yang disita di perairan Bali pada akhir Februari lalu, tiada kaitan langsung dengan syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan mendapati, kapal layar berkenaan adalah milik sah Equanimity (Cayman) Ltd.

 

Bukan itu sahaja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Haron telah menjelaskan pada 7hb Mac 2018 bahawa kapal layar mewah The Equanimity didakwa milik peribadi taikun Jho Low dan tiada kaitan dengan siasatan 1MDB. 

Sementara itu pemilik sah 'Equanimity', Equanimity (Cayman) Ltd dilaporkan mengecam tindakan Kerajaan Malaysia merampas Equanimity melanggar keputusan mahkamah di US dan Indonesia bahawa kapal itu perlu dipulangkan kepada DOJ.

2 Comments