Kita tidak mahu beratus ribu atau berjuta PTI bakal di’PUTIH’kan- KP UMNO Sabah
07:08 Aug 11, 2018  |  By SabahKini2
Kita tidak mahu beratus ribu atau berjuta PTI bakal di’PUTIH’kan- KP UMNO Sabah

Bantah Pemberian Pas Kerja Kepada PTI Di Sabah – tidak menghormati sensitiviti rakyat Sabah berkenaan isu tersebut, seolah-olah tidak ada cara dan upaya lain lagi untuk menangani masalah kekurangan pekerja di negeri ini.

1. Pergerakan Pemuda UMNO Sabah ingin menyatakan kepada penjelasan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Mohd Ajis Jamman semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini berkenaan Pemberian Dokumen Pas Kerja kepada Warga Asing di negeri Sabah.

2. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah terpanggil untuk membuat bantahan terhadap penjelasan tersebut, yang tidak menghormati sensitiviti rakyat Sabah berkenaan isu tersebut, seolah-olah tidak ada cara dan upaya lain lagi untuk menangani masalah kekurangan pekerja di negeri ini.

3. Menurut laporan yang dibuat oleh Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2015, terdapat lebih separuh daripada 2.6 juta bukan warganegara Malaysia termasuk orang-orang pelarian, yang tidak berdokumen, tidak bernegara (stateless) dan pekerja-pekerja pendatang asing yang tinggal di negara ini berada di Sabah.

4. Ini bermakna dengan pemberian Dokumen Pas Kerja kepada golongan ini, pasti akan merubah secara drastik demografi, sosio-ekonomi dan budaya di negeri ini.

5. Kerajaan harus sedar dan tahu bahawa, terdapat laporan sejumlah besar kes-kes jenayah dilakukan oleh warga asing terutamanya pendatang tanpa izin (PTI).

6. Stigma sosial terhadap PTI di negeri Sabah ini masih menebal dan subur di kalangan penduduk tempatan lebih-lebih lagi peristiwa hitam seperti Pencerobohan Tanduo yang berlaku beberapa tahun lalu masih belum dapat dilupakan lagi.

7. Malah baru-baru ini, bekas Senator Negara Filipina telah mencadangkan agar Negeri Sabah dijadikan sebagai negeri ke-13 negara republik tersebut. Adakah cadangan pemberian Dokumen Pas Kerja kepada Warga Asing ini cuma kebetulan pada masa yang salah ataupun ada agenda lain yang perlu menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri?

8. Kerajaan harus menghormati Kedaulatan Undang-Undang sebagaimana yang tercatat dalam Rukun Negara. Kerajaan seharusnya kelihatan tegas dengan Warga Asing yang melanggar undang-undang Negara.

9. Mana-mana warga Asing yang tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu pelanggaran seksyen 6(1)(c) akta yang sama. HUKUMAN yang boleh dikenakan adalah di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Dengan Denda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.

10. Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk tidak menghormati Undang-Undang tersebut?

ADAKAH INI MENCERMINKAN MALAYSIA BAHARU DAN JUGA SABAH UBAH SEPERTI YANG DIMOMOKKAN DAN DIULANG-ULANG DALAM KEMPEN PRU14 YANG LEPAS?

11. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan terlebih dahulu kepada tenaga kerja tempatan sebelum membuka peluang pekerjaan kepada warga Asing.

12. Malah cadangan kerajaan untuk memberikan pas kerja kepada warga asing amat bercanggah dengan jaminan Ketua Menteri untuk menyelesaikan masalah pengangguran di negeri ini pada bulan Mei lalu. Adakah ini satu lagi siri janji yang tidak akan di tepati?

13. Polisi pemberian pas kerja ini boleh menggalakkan lebih ramai Warga Asing untuk masuk secara haram ke negeri ini, kerana mereka akan menyangka kedatangan mereka sedang dialu-alukan dan sudah dijamin mendapat peluang pekerjaan.

14. Keghairahan kerajaan untuk memberikan peluang pekerjaan kepada warga asing akan merugikan ekonomi negeri ini kerana wang upah yang diperolehi warga asing ini akan dihantar ke negara asal mereka. Akhirnya, wang berbillion-billion ringgit akan hilang dan mengalir ke luar negara.

15. Selain itu, kedaulatan dan keselamatan negara haruslah menjadi keutamaan kerajaan bukannya dengan mengambil jalan singkat dan mudah tanpa mengambil kira kesan jangka masa panjang

16. Kita tidak mahu beratus ribu atau berjuta Warga Asing yang akan di’PUTIH’kan menjadi bom jangka di dalam negeri ini.

17. Umum mengetahui kerajaan Filipina masih belum dapat mengatasi kumpulan subversif dan pengganas di negara tersebut secara total berdekad-dekad lamanya.

18. Adakah kita bersedia untuk menerima kumpulan subversif ke negara ini yang mungkin sahaja berada di antara kumpulan warga Asing yang di’putih’kan?

19. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri memohon agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula cadangan mereka untuk memberikan pas kerja kepada warga asing demi kebaikan rakyat Sabah keseluruhannya.

20. Tegakkan ‘Rule of Law’ terlebih dahulu. Tangkap mereka dan hantar balik ke negara asal masing-masing. Selepas itu barulah bawa mereka balik ke negeri ini mengikut saluran yang betul dan tapisan keselamatan yang ketat.

IR. ABDUL AZIZ JULKARNAIN,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah.

7 Comments