Harga Sawit jatuh sehingga RM185 setan menyusahkan rakyat
13:11 Nov 30, 2018  |  By SabahKini2
Harga Sawit jatuh sehingga RM185 setan menyusahkan rakyat

Selain harga sawit jatuh faktor lebihan stok minyak dan tiada tempat penyimpanan adalah antara sebab kilang kelapa sawit di sana mengurangkan pembelian mereka daripada pekebun kecil.

KOTA KINABALU- Sekalipun ada pekebun kecil kelapa sawit di Sabah menafikan dakwaan bahawa kilang minyak kelapa sawit di negeri ini tidak mahu membeli buah kelapa sawit mereka kerana kejatuhan harga komoditi itu hakikatnya perkara itu berlaku selepas tular dakwaan kilang tidak mahu membeli buah sawit.

[ARTIKEL BERKAITAN- (VIDEO) Harga sawit jatuh: Kilang Sawit di Sabah tidak mahu beli buah sawit dari pekebun kecil ]

Bimbang aduan rakyat kini kilang kelapa sawit sudah mula membeli buah kelapa sawit daripada pekebun kecil dengan harga paling rendah.

Pemilik ladang kelapa sawit di Keningau Kasim Karim berkata buah kelapa sawit yang dijual terus kepada pemborong berharga RM300 setan, sementara yang dijual terus ke kilang pula berharga RM371 setan. Namun ada sesetengah tempat serendah RM220 hingga RM240 setan.

Di Beaufort pekebun kecil kelapa sawit, Jasri Amat, 50 berkata kilang kelapa sawit dan pembeli swasta masih menerima buah kelapa sawit mereka, walaupun harganya rendah, pada kadar serendah RM185 setan jika dijual kepada pemborong dan RM220 setan bagi jualan terus ke kilang.

Menurut beliau lagi, kejatuhan harga ini telah menjejaskan pendapatan pekebun kecil dengan begitu teruk dan berharap agar kerajaan dapat mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani masalah tersebut.

Menurut beberapa pemilik kilang sawit di Sabah selain harga sawit jatuh faktor lebihan stok minyak dan tiada tempat penyimpanan adalah antara sebab kilang kelapa sawit di sana mengurangkan pembelian mereka daripada pekebun kecil.

"Para pengilang mahu membeli kelapa sawit daripada pekebun kecil, tetapi masalah lebihan bekalan dan ruang penyimpanan terhad yang menyebabkan ini berlaku (kilang mengurangkan pembelian kelapa sawit)," katanya.

Sementara itu di kawasan Felda Sahabat, Ketua Peneroka, Jeneral Linjal berkata sudah tiba masanya kerajaan campur tangan dengan menyediakan langkah untuk menstabilkan harga minyak sawit bagi membantu pekebun kecil.

"Saya harap keadaan ini cuma sementara kerana sebagai peneroka Felda, saya juga dapat merasai kesannya, tetapi lebih buruk lagi ialah pekebun kecil di luar Felda kerana peneroka Felda masih dapat bergantung pada sistem Felda.

Sheila Einas dalam laman sosial twitter berkata berlaku lambakan buah sawit di kilang Keningau Sabah.

“Mereka mengharap buah sawit mereka dibeli, malangnya tiada pembeli berikutan harga sawit jatuh teruk ke paras RM185 setan berbanding di era BN dulu RM600-RM700 setan.” katanya

Asmawi dari Beaufort berkata kejatuhan harga sawit mendedahkan risiko permainan pembeli swasta atau pemborong dan kilang mengenai harga sawit.

“Jika kilang tidak mahu membeli harga standard, pembeli swasta akan menekan harga murah sehingga RM185 setan. Pekebun kecil sawit tiada pilihan melainkan menjual saja dari menyimpan. Ada pembeli sudah dikira lebih baik berbanding buah rosak”. katanya.

6 Comments