Sabah tidak aman: Lagi kes rompakan di kawasan perairan Malaysia-Indonesia
02:01 Jan 02, 2019  |  By SabahKini2
Sabah tidak aman: Lagi kes rompakan di kawasan perairan Malaysia-Indonesia

Selepas penculikan, kini satu lagi kes rompakan dilaporkan berlaku di perairan Hand Rock, di sini, kira-kira dua batu nautika dari sempadan kawasan tuntutan bertindih Malaysia-Indonesia

TAWAU: Satu lagi kes rompakan dilaporkan berlaku di perairan Hand Rock, di sini, kira-kira dua batu nautika dari sempadan kawasan tuntutan bertindih Malaysia-Indonesia.

Dalam kes terbaharu, seorang nelayan menghubungi polis pada Isnin kira-kira jam 4.07 petang dan mengatakan dirinya dirompak sekumpulan empat lelaki di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata salah seorang daripada kumpulan terbabit dikatakan menggunakan senjata laras senjata api (kelopak peluru bengkok).

“Mengikut aduan pengadu, kumpulan suspek terbabit turut bersenjatakan sebilah parang panjang berukuran kira-kira 15 inci,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fadil berkata kesemua suspek mengenakan pakaian biasa namun salah seorang daripada mereka dikatakan ada memakai topeng penutup muka serta menggunakan loghat asing.

“Pengadu, 35, dan rakannya, 31, bekerja sebagai nelayan dan berasal dari Pulau Bum-Bum, Semporna, mendakwa dirompak di laut semasa keluar menangkap ikan.

“Kedua-dua nelayan keluar memancing pada dua hari sebelumnya kira-kira jam 1 petang dengan bot jongkong kayu di kawasan perairan Hand Rock,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa bermalam dua malam di atas bot sambil memancing hasil laut di perairan itu, sebelum didatangi bot laju kira-kira jam 3.50 petang pada Isnin.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudiannya mengacukan senjata dan mengarahkan mangsa bergerak ke hadapan sebelum dua lagi suspek naik ke bot membuat pemeriksaan.

“Mereka dilaporkan mengambil enjin bot berkapasiti 15 kuasa kuda (HP), dua telefon pintar dan 12 ekor ikan merah yang ditangkap oleh kedua-dua nelayan terbabit di laut.

“Selepas memotong tali ikatan enjin di bot milik mangsa dan meletakkan kesemua barang di bot suspek, mereka dikatakan beredar ke arah Sg Nyamuk Indonesia,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa meminta bantuan seorang nelayan lain dan meminjam telefon pintar untuk menghubungi polis serta mengadu mengenai insiden berkenaan.

Fadil berkata kesemua suspek terlibat dipercayai menaiki sebuah bot laju jenis papan lapis panjang berukuran 23 kaki, lebar empat kaki dengan kekuatan enjin 30 HP.

“Kita membuka siasatan menerusi Kertas Enkuiri Polis,” katanya, sambil mengesahkan polis turut menyiasat kaitan kumpulan terbabit dengan kes rompakan laut bulan lepas.

Dalam kes terdahulu, seorang nelayan dan dua anak lelakinya dilaporkan dirompak enam lelaki bertopeng dan bersenjata api di perairan Apas Parit Tawau pada awal bulan lepas.

 

2 Comments