Jangan sewenangnya iktiraf bangsa lain sebagai anak negeri Sabah- Hajiji
18:02 Feb 02, 2019  |  By SabahKini2
Jangan sewenangnya iktiraf bangsa lain sebagai anak negeri Sabah- Hajiji

Memberi pengiktirafan kepada bangsa lain sebagai anak negeri merupakan perkara yang serius dan sensitif.

KERAJAAN DIINGAT TIDAK SEWENANG-WENANG IKTIRAF BANGSA LAIN SEBAGAI ANAK NEGERI SABAH

KOTA KINABALU: Mantan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini mengingatkan Kerajaan Warisan agar tidak sewenang-wenangnya mengiktiraf bangsa lain, termasuk Bugis dan Jawa sebagai anak negeri Sabah.

Katanya, anak negeri merupakan suatu status amat istimewa yang dikhususkan untuk penduduk asal (pribumi) Bumiputera negeri Sabah.

Beliau berkata, status istimewa ini harus dipertahankan kerana ia adalah satu-satunya hak istimewa yang diberikan kepada rakyat bumiputera pribumi negeri ini.

"Memberi pengiktirafan kepada bangsa lain sebagai anak negeri merupakan perkara yang serius dan sensitif.

"Jika ini dilaksanakan, sudah pasti ia menghakis hak-hak anak negeri Sabah. Kerajaan Warisan diingatkan agar tidak terburu-buru berbuat demikian", katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri Datuk Haji Aidi Mokhtar bahawa kerajaan akan menyemak sama ada masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah yang berasal dari Wilayah Jawa dan Sulawesi,Indonesia harus dianggap sebagai anak negeri Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Menteri Warisan mahu iktiraf Bugis, Jawa Anak Negeri tapi SUA Warisan dan TKM Sabah bantah! ]

Katanya, menurut Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri), mereka ketika ini tidak diklasifikasikan sebagai anak negeri.

Menurutnya, Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Warisan,adalah tidak adil kepada orang Bugis dan Jawa untuk tidak diklasifikasikan sebagai anak negeri kerana mereka telah berada di Sabah sebelum kemerdekaan.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman menegaskan, semua anak negeri itu adalah Bumiputra tetapi tidak semua Bumiputra itu anak negeri.

Katanya, Menteri Undang-Undang mungkin keliru diantara status Bumiputera dan anak negeri.

"Anak Negeri atau native (pribumi) adalah mereka yang berasal dari Borneo Utara. Dalam konteks nasional mereka juga Bumiputera di bawah Perlembagaan kita.

"Tetapi Bumiputera Malaysia tidak semestinya layak sebagai penduduk asal pribumi Sabah. Orang Melayu dari Semananjung dan Sarawak juga tidak diiktiraf sebagai orang asli Sabah kecuali seorang daripada ibu bapa mereka berasal dari Sabah.

"Bugis adalah orang asli Sulawesi manakala Jawa adalah orang asli Jawa. Mereka bukan orang asli Sabah / Borneo Utara, mereka tidak layak menjadi orang asli dalam definisi Native Ordinance", jelasnya.

Hajiji menegaskan, walaupun mereka boleh menuntut sebagai anak negeri dibawah S.2(1)(d) Intepretation (Defination of Native) Ordinance (Sabah Cap 64), tetapi S.2(3) mengharuskan mereka memohon pengiktirafan anak negeri di Mahkamah Anak Negeri dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Ini bermakna Menteri berkenaan tidak menyedari bahawa undang-undang yang sedia ada sudah pun menetapkan prosedeur bagi Bumiputera yang memohon pengiktirafan sebagai anak negeri", tegasnya.

15 Comments