Kecoh! Perang projek demi 'kroni' Menteri Perumahan pusat VS Menteri Sabah
11:02 Feb 03, 2019  |  By SabahKini2
Kecoh! Perang projek demi 'kroni' Menteri Perumahan pusat VS Menteri Sabah

Menteri Pusat mengeluarkan pekeliling sendiri, Menteri di Sabah juga menggunakan pekeliling sendiri. Pusat kata kuasa dia, Negeri Sabah kata kuasanya. Tapi sebenarnya itu semua demi kroni masing-masing.

KOTA KINABALU- Bermula dengan surat pekeliling Kementerian Kewangan  (MOF) bertarikh 29 Jun 2018 bagi projek di Sabah dan Sarawak maka hari ini beberapa kementerian sudah membuat keputusan sendiri untuk melaksanakan projek tanpa perlu disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Apa yang Dato’ Seri Shafie Apdal lakukan ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terhadap Musa Aman Ketua Menteri ketika itu kini berlaku di zaman Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri. Ketika itu agensi Felcra, Felda, Risda dan lain-lain lagi melaksanakan terus projek tanpa perlu disalurkan kepada kerajaan negeri. Shafie Apdal menggunakan alasan kuasa menteri melaksanakan projek tanpa perlu merujuk Kerajaan Negeri.

Hari ini Kerajaan Negeri Warisan berhadapan perkara sama. Berhempas pulas Kerajaan Negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri mengatasi masalah penurunan kuasa itu. Pelbagai surat pekeliling dikeluarkan untuk menghalang kementerian pusat di Putrajaya.

Portal Sabahkini2 sebelum ini mendedahkan hal yang berlaku di Kementerian Pendidikan.

Dr Mazlee Malik menggunakan kuasanya mengarahkan pembatalan perwakilan kuasa pengawal KPM kepada Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah dan Sarawak bagi projek perolehan Bekalan dan Perkhidmatan melalui surat KPM 14 Novermber 2018.

[ARTIKEL BERKAITAN- baca Menteri Pendidikan mahu ‘bolot’ projek tender KPM arah batal kuasa perolehan Sabah ]

Pembatalan perwakilan kuasa untuk Sabah dan Sarawak hanya mahu memonopoli perolehan tender bekalan perkhidmatan seperti bekalan makanan bermasak. Kantin sekolah, pengawal keselamatan, tender kerja lain-lain lagi. Melalui cara itu semua keputusan tender ditentukan pusat dan menteri mampu mengawalnya.

Satu kes lagi yang belum didedahkan kepada umum ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

YB Zuraida Kamaruddin Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggunakan kuasa menterinya melalui Pekeliling MOF 29 Jun 2018 dengan menyalurkan terus peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) di Sabah tanpa perlu lagi melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah. Zuraida dikatakan memilih wakilnya dari PKR untuk melaksanakan projek majlis daerah di Sabah.

Cara Zuraida ini dilihat untuk mengekang sikap monopoli pemimpin Warisan yang 'lapar' di PBT negeri atau Kementerian kerajaan Tempatan di Sabah. Jika tidak semuanya menjadi ‘milik Warisan’. Perolehan ditentukan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan Pusat dan Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Daerah/Perbandaran) bukan lagi Datuk Jaujan Sambakong Menteri Kerajaan dan Perumahan Sabah sebagai penentu. Dengan cara ini Zuraida boleh memberi terus projek kepada pemimpin PKR di Sabah.

Kerana rasa tidak puas hati Datuk Jaujan Sambakong telah mengutus surat kepada YB Zuraida Kamaruddin bertarikh 31 Oktober 2018 memaklumkan peruntukan khas PBT 2018 Projek BP1 tidak boleh disalur terus kepada PBT.

 

Jaujan hendak bagitau peruntukan beri pada dia dulu buka PBT. Antara surat yang dihantar Jaujan kepada Zuraida

Menurutnya perkara tersebut tidak selaras dengan Pekeliling Kerajaan Tempatan dan Perumahan Bil.1 2002 dan Bil.2 2002 bahawa tatacara permohonan peruntukan Jabatan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Landskap negara termasuk pengendalian sebut harga/tender dilakukan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah.

PBT juga katanya tertakluk Local Government Ordinance (LGO) 1961, Financial Intruction of Local Authority (FILAS).

Kerana kemelut berpanjangan itu pada 7 Januari 2019 Datuk Seri Panglima Hashim Paijan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mengutus surat kepada semua PBT Negeri mengenai ketetapan Mesyuarat Jemaaah Menteri Sabah pada 5 Disember 2018 bahawa semua pengurusan projek-projek biayaan persekutuan di Sabah perlu mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

 

 

Apakah agaknya penyelesaian Zuraida Kamaruddin selaku Menteri pusat dan Jaujan Menteri Negeri? Apakah Zuraida terus mengekalkan cara samsengnya bagi menahan pemimpin Warisan bawah Datuk Jaujan yang rakus atau mereka berpakat untuk menentukan cara kuota sama ada projek kepada Warisan atau PKR. Ini semua adalah 'Perang Kroni' siapa berkuasa ia menentukan kedudukannya.

Apapun pekeliling yang digunakan pusat atau negeri kedua-duanya boleh dilakukan. Begitulah apa yang Shafie Apdal lakukan dahulu kepada kerajaan negeri yang lama. Jadi ia tidak menghairankan untuk masalah ini terus berpanjangan. 

 

 

 

 

7 Comments