Tak mungkin PM beri autonomi penuh kepada Sabah, Sarawak kata pensyarah
19:03 Mar 11, 2019  |  By SabahKini2
Tak mungkin PM beri autonomi penuh kepada Sabah, Sarawak kata pensyarah

MA63 sudah ada. Ia hanyalah isu pelaksanaannya dengan lebih berkesan.Ini termasuklah mengatasi masalah pertindihan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan agensi pusat di Sabah dan Sarawak..

KUCHING: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan besar tidak akan memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak, kata seorang pensyarah dengan merujuk kepada dasarnya sebelum ini yang mengutamakan kerajaan pusat yang kuat.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, perdana menteri percaya kerajaan pusat yang kuat penting untuk integrasi nasional.

“Beliau percaya pada identiti pusat yang kuat.

“Dalam persoalan pembinaan negara, Dr Mahathir percaya bahawa pemusatan adalah penting bagi menyatukan wilayah dan kerajaan pula kuat,” katanya

“Justeru, sebanyak manakah autonomi yang sedia beliau berikan kepada Sabah dan Sarawak?”

Puyok berkata, status perkongsian setaraf tidak pernah ditakrifkan dengan jelas, baik dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) maupun dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana anda mahu takrifkan perkongsian setaraf? Apakah ia bermakna mempunyai 3 wilayah bertaraf negara dalam satu persekutuan longgar? Atau apakah kita akhirnya akan menjadi sebuah konfederasi?

“Ia tidak pernah diketengahkan seperti ini sebelum ini,” kata beliau.

Beliau berkata, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerap disebut sebagai punca masalah yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak.

“Persoalannya, apabila pindaan itu dibuat, apakah kita kehilangan kedudukan istimewa kita dalam Perlembagaan Persekutuan?”

Malah katanya, tidak ada keperluan untuk menyemak semula MA63, tetapi kerajaan boleh memperbaiki pelaksanaan apa-apa juga yang berhak diperolehi oleh negeri terbabit.

“MA63 sudah ada. Ia hanyalah isu pelaksanaannya dengan lebih berkesan.

“Ini termasuklah mengatasi masalah pertindihan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan agensi pusat di Sabah dan Sarawak, selain isu penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri.”

Katanya, Sarawak tampak lebih spesifik dalam tuntutannya dan lebih ke depan berbanding Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- (VIDEO) Dengar cara Ketua Menteri Sarawak pertahan MA63 dan cukai petroleum dari Guan Eng]

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut  yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Hazland Abang Hipni berpendapat, adalah tidak perlu untuk mengambil ketetapan mengenai keperluan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi melaksanakan pindaan MA63.

Parlimen Malaysia tidak memiliki kuasa meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia perjanjian antarabangsa yang berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970.

"Sebaliknya, pendekatan meja bulat boleh diambil dengan penyertaan ketiga-tiga pihak iaitu Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merungkai permasalahan, sekali gus mengembalikan semula keistimewaan kedua-dua wilayah itu," katanya dalam satu kenyataan sebelum ini

"Maka, Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan perlu mendengar dan membawa bersama kedua-dua kerajaan di Kepulauan Borneo ini untuk duduk berbincang mengenai kandungan MA63,"

"Cukuplah... sudah lebih 55 tahun Sarawak dan Sabah dinafikan hak untuk menerima royalti atau peruntukan daripada hasil minyak bagi membiayai pembangunannya," katanya.

 

4 Comments