Sabah Sarawak perlu kereta buluh terbang atasi masalah jalan raya kata Anifah
14:03 Mar 19, 2019  |  By SabahKini2
Sabah Sarawak perlu kereta buluh terbang atasi masalah jalan raya kata Anifah

Bekas menteri luar itu jelas menyindir cadangan menteri PH untuk kereta terbang dan menanam buluh.

Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman menyarankan negara mencipta kereta terbang yang dibuat daripada buluh supaya wang tidak perlu dibelanjakan untuk memperbaiki jalan-jalan yang buruk di Sabah dan Sarawak.

Bekas menteri luar itu jelas menyindir cadangan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof itu sebelum ini yang begitu kuat mempertahankan kereta terbangnya.

Kata Anifah beliau"bukan perli" apabila mengutarakan hal tersebut sebagaimana cadangan Teresa Kok menukar Kelapa Sawit dengan tanaman buluh.

"Saya juga tertarik cetusan idea menteri untuk bina kereta terbang kalau sekiranya benar kalau kita tak dapat salurkan kewangan untuk membaik pulih dan bina jalan raya untuk Sabah dan Sarawak.

"Saya rasa rakan-rakan dari Sarawak akan setuju dengan saya, projek kereta terbang haruslah dimajukan untuk Sabah dan Sarawak dan boleh dibuat gunakan buluh agar ringan dan boleh terbang.

"Saya harap kereta terbang boleh dibina.

"Kalau ia dibina rakyat Sabah dan Sarawak tak perlu jalan-jalan kita diperbaiki, jalan lumpur, jalan batu kerikil, dan ada kalanya anak-anak kita jalan kaki ayam ke sekolah," kata Anifah kepada Dewan Rakyat hari ini.

Anifah berkata jika kereta terbang itu dapat dibina, beliau akan memberi tabik hormat kepada Redzuan.

"Jika kereta terbang ini boleh dibina saya akan salute menteri, dan ia akan selesaikan masalah Sabah.

"Bukan perli kalau sekiranya seorang menteri apabila berucap harus buat kajian yang terperinci," jelasnya.

"Saya selaku rakyat Malaysia dari Sabah amat dukacita dan sedih apabila jalan-jalan kampung kita, air bersih tak sampai kepada rakyat kita tapi di semenanjung ada projek-projek gergasi sedangkan di Sabah belum dapat kemudahan-kemudahan asas yang sangat-sangat diperlukan," katanya.

Anifah Aman sebelum ini pernah mempersoalkan projek KKLW RM13 bilion di Zaman Shafie Apdal pernah menjadi Menteri bagaimanapun peruntukan besar tetapi projek entah kemana.

 

 

5 Comments