Kemalangan jet peribadi sebabkan kematian Ruzaimi, Vincent Tan salahkan MAHB
00:03 Mar 22, 2019  |  By SabahKini2
Kemalangan jet peribadi sebabkan kematian Ruzaimi, Vincent Tan salahkan MAHB

Belum selesai siasatan daripada Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Vincent Tan sudah menyalahkan MAHB sebagai punca kemalangan. Berjaya juga kini disiasat polis.Yang pasti kematian sudah berlaku

Belum pun selesai siasatan 30 hari Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Vincent Tan menyalahkan MAHB kerana cuai dalam kejadian yang menyaksikan seorang pekerja meninggal dunia selepas rempuhan di atas landasan dengan jet syarikatnya.

[ARTIKEL BERKAITAN- Rempuhan Jet Vincent Tan Berjaya Group sebabkan kematian Ruzaimi Iskandar Staff MAHB ]

Dua hari berdiam diri seakan menyembunyikan identiti pemilik pesawat 9M-TST akhirnya Pengerusi Eksekutif Berjaya Group mengesahkan pesawat Berjaya Air terlibat dalam kemalangan pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, beliau mengecam serangan yang dibuat terhadap syarikat penerbangan itu dan krunya berikutan kejadian kemalangan tersebut tidak berasas serta tidak benar.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, sedang memandu kenderaan kejuruteraan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ketika terlibat dalam kemalangan di atas landasan dengan pesawat persendirian sekitar jam 3.20 pagi.

Mohd Ruzaimi meninggal dunia akibat kecederaan pada malam Selasa lalu, meninggalkan seorang balu, dan empat orang cahaya mata berumur antara satu ke 13 tahun.

Tan menegaskan juruterbang syarikat penerbangan itu telah mematuhi semua prosedur operasi penerbangan dan pendaratan, serta mendapat kelulusan dari menara kawalan lapangan terbang, sebelum turun.

"Sebenarnya, jika halangan pada landasan bukan sebuah kenderaan penyelenggaraan yang kecil, katakan sebuah trak atau peralatan berat lain maka ia boleh menyebabkan  bencana besar.

"Keseluruhan pesawat, anak kapal dan penumpang mungkin telah musnah dalam kemalangan itu," kata Vincent Tan

 

Jelas Tan lagi pihak berkuasa lapangan terbang sepatutnya memberi amaran yang mencukupi kepada pesawat masuk mengenai kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan di landasan.

"Tiada amaran sedemikian diberikan dan pada pandangan saya, pihak berkuasa lapangan terbang cuai," katanya

Walau bagaimanapun dalam pelbagai insiden Vincent Tan tetap menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada balu allahyarham Mohd Ruzaimi.

Berjaya Air, dalam kenyataan berasingan, juga mengatakan penerbangan yang terlibat telah mengikuti pelan penerbangan yang diluluskan sebelum pendaratan dibuat.

"Tiada NOTAM (Notis kepada Airmen) dikeluarkan untuk menasihatkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan (masih berlangsung) sedang dijalankan di landasan di Lapangan Terbang Subang.

"Kebenaran mendarat diminta oleh juruterbang dan Menara di Lapangan Terbang Subang memberi kelulusan untuk mendarat. Tidak ada suar atau lampu amaran supaya kru waspada dengan kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di landasan," kata syarikat penerbangan swasta itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan insiden akan disiapkan dalam masa 30 hari.

 

6 Comments