Tun M sahkan CEO TM bukan Imri Mokhtar
22:06 Jun 05, 2019  |  By SabahKini2
Tun M sahkan CEO TM bukan Imri Mokhtar

Tun M tidak mendedahkan nama CEO TM tetapi menyatakan bahawa ia bukan Imri Mokhtar yang kini memangku jawatan berkenaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Telekom Malaysia (TM) sudah dilantik.

Bagaimanapun, pengerusi PH itu tidak mendedahkan nama CEO baru berkenaan dan sekadar menyatakan bahawa ia bukan Imri Mokhtar yang kini memangku jawatan berkenaan.

"Saya rasa mereka (TM) belum umumkan (CEO baru), tapi saya fikir dia sudah dilantik," katanya kepada pemberita ketika sidang media di majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

"Orang lain," katanya ketika ditanya sama ada individu yang dilantik adalah Imri.

[ARTIKEL BERKAITAN- Pejabat PM arah tangguh surat pelantikan CEO TM diluluskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ]

Media sebelum ini melaporkan bahawa pengerusi TM Rosli Man tidak mahu melantik Imri Mokhtar yang surat kelulusannya dikeluarkan Lim Guan Eng pada 25 februari lalu. 

Imri ketika ini menjalankan tugas sebagai pemangku CEO selepas menggantikan Bazlan Osman November lalu.

Syarikat telekomunikasi itu tidak mempunyai CEO tetap selama setahun selepas Shazalli Ramli meletakkan jawatan Jun tahun lalu. Shazalli merupakan bekas penasihat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Rosli menjadi pengerusi Dis lalu selepas peletakan jawatan Sulaiman Mahbob.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, TM menjelaskan bahawa nama Imri dicadangkan oleh ahli lembaga pengarah dan disokong oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan, namun Pejabat Perdana Menteri dikatakan minta keputusan berhubung perkara itu ditangguhkan.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pelantikan pengerusi TM dan CEO hanya boleh dibuat selepas mendapat arahan daripada perdana menteri.

 

1 Comment