4,629 kes denggi, Sabah kini 'ranking' keempat tertinggi di Malaysia
04:11 Nov 16, 2019  |  By SabahKini2
4,629 kes denggi, Sabah kini 'ranking' keempat tertinggi di Malaysia

Kes denggi Sabah direkod 9 November lepas adalah 4,629, namun sehingga 15 November kini mencecah 4,720 kes. Kenaikan hampir 100 kes hanya seminggu.

KOTA KINABALU - Jumlah kumulatif kes denggi di negeri ini setakat 9 November lepas adalah 4,629 kes berbanding 2,876 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,753 kes atau 61 peratus.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, daerah yang menyumbangkan kes tertinggi adalah Sandakan sebanyak 1,144 kes, Kota Kinabalu (722 kes), Tawau (698 kes), Lahad Datu (591) dan Semporna (276).

Katanya, jumlah kumulatif kematian denggi adalah 22 kematian iaitu jumlah ini adalah sama seperti tahun sebelumnya dan bagi tempoh yang sama.

Poon dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan kawalan denggi dilakukan antaranya mengadakan kerjasama semua agensi dan masyarakat untuk aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit denggi.

Katanya, turut dilakukan adalah semburan dan penghapusan tempat pembiakan di kawasan yang mempunyai wabak atau kes denggi.

Beliau berkata, dalam membabitkan masyarakat, aktiviti gotong-royong diadakan secara besar-besaran untuk menghapuskan tempat pembiakan di kawasan wabak atau kawasan berpotensi. 

25 Oktober lalu portal Sabahkini2 melaporkan Sabah catat 4,423 kes denggi kelima tertinggi, ketiga tertinggi kes kematian dalam tempoh 10 bulan. Bagaimanapun sehingga 15 November 2019 yang dikeluarkan laman sesawang iDengue di pautan http://idengue.arsm.gov.my/ kes Denggi Sabah terbaru direkodkan  ialah 4,720 kes menaikkan Sabah ke 'ranking' keempat selepas negeri Kelantan ketiga.

Comment