Gantung Penerbangan: Duta China Kecewa tapi rakyat Sabah sokong langkah kerajaan negeri
00:02 Feb 01, 2020  |  By SabahKini2
Gantung Penerbangan: Duta China Kecewa tapi rakyat Sabah sokong langkah kerajaan negeri

Sekalipun sekatan penerbangan mendapat bantahan daripada Duta China ke Malaysia tapi rakyat Sabah berdiri di belakang keputusan kerajaan demi keselamatan rakyat Sabah

Duta China ke Malaysia Bai Tian menggesa kerajaan negeri Sabah untuk menilai semula keputusannya menggantung semua penerbangan dari China.

Dalam satu sidang media di Kementerian Industri Utama, Putrajaya hari ini, Bai Tian berkata apa-apa keputusan yang diambil oleh kerajaan haruslah bersandarkan alasan yang konkrit.

"Saya sedih dengan keputusan kerajaan Sabah. Keputusan itu perlu dipertimbangkan semula kerana setiap keputusan oleh mana-mana kerajaan atau organisasi perlulah bersandarkan asas yang kukuh.

"Dalam situasi yang sulit ini, saya harap aktiviti komersil dan perdagangan antara China dan Malaysia- termasuklah Sabah- tidak akan terjejas," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew mengumumkan bahawa Sabah mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

[ARTIKEL BERKAITAN- Mohammadin mahu beri surat, Sabah pula gantung semua penerbangan dari China ]

Sedar ia mungkin tidak diterima baik oleh pemain industri pelancongan, kata Liew, keputusan itu diambil kerana kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan rakyat Sabah terhadap risiko terkena jangkitan koronavirus.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata keperluan untuk menyekat semua penerbangan dari China ke Malaysia sedang dalam kajian kerajaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai kecemasan global yang berpotensi tersebar ke negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah.

Sekalipun sekatan itu ia mendapat bantahan daripada Negara China, pemimpin di negeri Sabah tidak kira pemimpin Kerajaan dan pembangkang menyokong tindakan Shafie Apdal itu demi kebaikan rakyat Sabah.

 

 

1 Comment