Demi rakyat: Rozman MP Labuan bakal jadi wakil rakyat bebas?
15:06 Jun 21, 2020  |  By SabahKini2
Demi rakyat: Rozman MP Labuan bakal jadi wakil rakyat bebas?

Tiada halangan MP Bebas. Rozman berkata, ini kerana setiap urusan pentadbiran di Wilayah Persekutuan itu adalah tertakluk kepada pegawai kerajaan yang dilantik.

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dari Parti  Warisan Sabah (Warisan), memberi gambaran bahawa tiada masalah jika beliau memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Rozman berkata, ini kerana setiap urusan pentadbiran di Wilayah Persekutuan itu adalah tertakluk kepada pegawai kerajaan yang dilantik.

Katanya, beliau boleh memainkan peranan dengan melakukan tugas semak dan imbang demi kepentingan Labuan.

"Ahli Parlimen Labuan adalah daripada Warisan yang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

"Itu tiada masalah, malah ianya adalah kelebihan sebab Labuan dengan Sabah mesti ada penghubung.

"Sebab itu (saya) sertai Warisan dan mengharapkan boleh teruskan (Projek Jambatan Labuan-Menumbok)... tetapi sekarang semua sudah jadi lain," katanya

Rozman bagaimanapun berkata, beliau belum mempunyai perancangan untuk keluar daripada Warisan untuk menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat Bebas.

"Saya masih dengan Warisan. Tidak manis gopoh-gopoh dan lompat-lompat.

"(Kita) mesti tenang dan ada semangat setia kawan. Perkara ini tidak mudah, sesetengah orang senang buat tetapi orang akan memerhati," ujarnya.

Selepas Putrajaya diambil alih Perikatan Nasional (PN) sejak Mac lalu, Sabah antara negeri yang diramal akan tumbang atas beberapa faktor termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti secara beramai-ramai.

Terbaru dua Adun Sabah keluar UPKO dan menjadi wakil rakyat bebas mengukuhkan lagi desas-desus Sabah kerajaan Warisan PH UPKO tumbang dalam tempoh terdekat.

[ARTIKEL BERKAITAN- "Ada ramai lagi menyusul" dua ADUN UPKO umum keluar parti ]

Awal Mac lalu Sabahkini2 melaporkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang menyertai Warisan pada oktober 2018 dijangka akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sama ada menyertai parti atau wakil bebas tetapi menyokong kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin

[ARTIKEL BERKAITAN- Rozman MP Labuan keluar Warisan sertai Muhyiddin? ]

Demi pembangunan tentunya penyertaan Rozman lebih baik untuk Labuan dan beliau diperlukan kembali sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang masih kosong.

Walaubagaimanapun Rozman Isli mentafsir laporan Sabahkini2 itu sebagai cubaan fitnah dan membuat laporan polis. Apapun niat Sabahkini2 adalah menyokong Rozman demi pembangunan Labuan.

Jambatan Labuan ke Menumbok Sabah tidak mungkin mampu dibina oleh kerajaan negeri jika tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Ia peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

10 Comments