Penjara 8 bulan: Anak Mat Sabu buat rayuan tangguh hukuman
09:06 Jun 25, 2020  |  By SabahKini2
Penjara 8 bulan: Anak Mat Sabu buat rayuan tangguh hukuman

Selepas tidak mengaku bersalah dan kini keputusan mahkamah memutuskan bersalah. Saiful akhirnya dihukum penjara 8 bulan. Bagaimanapun Saiful membuat rayuan penangguhan hukuman

Anak bekas Menteri Pertahanan Mat Sabu, Ahmad Saiful Islam Mohamad dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel, awal tahun lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Ahmad Saiful, 32, iaitu anak ketiga Mohamad Sabu.

"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dan keterangan saksi selepas meneliti dan menilai keseluruhan kes mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

"Selepas mendengar rayuan daripada peguam bela serta Timbalan Pendakwa Raya dengan mengambil kira kepentingan awam mahkamah perlu menjatuhkan hukuman supaya dapat memberi mesej kepada orang awam supaya tidak terbabit dadah," katanya.

Mohamad Aizat berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh sabitan dengan dua tahun pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis selepas keluar dari penjara.

Terdahulu, peguam tertuduh, Datuk Nicholas Kow dalam rayuannya berkata, tertuduh perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang masih kecil kerana beliau adalah penanggung tunggal keluarga.

"Ini adalah kesalahan pertama dan tiada rekod jenayah lampau serta merayu budi bicara mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara tambahan dia masih muda dan jika dipenjara keluarganya akan hilang tempat bergantung.

"Dia juga memberi kerjasama dan patuh pada arahan mahkamah dan dengan rendah diri memohon diberi denda serta ikat jamin berkelakuan baik," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kekerapan kes dadah dalam masyarakat yang meningkat dan harus dipandang serius.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira kes ini yang berlangsung terlalu lama tambahan tertuduh tidak mengaku salah sejak dari awal yang mana diharapkan dapat memberi hukuman setimpal bukan saja kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Nasar Khan, Nicholas dan Emile Ezra Hussain akan membuat permohonan penangguhan hukuman untuk merayu keputusan di Mahkamah Rayuan.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di pusat hiburan di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN- Saiful Islam anak Menteri Pertahanan 'Mat Sabu' ditahan positif ganja ]

Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

 

2 Comments