Provokasi Manila terhadap Sabah kerana tindakan tidak bijak Ketua Menteri Interim- Anifah Aman
08:08 Aug 27, 2020  |  By SabahKini2
Provokasi Manila terhadap Sabah kerana tindakan tidak bijak Ketua Menteri Interim- Anifah Aman

Ketua Menteri Interim telah secara semberono memberi legitimasi terhadap tuntutan tersebut melalui keinginan beliau untuk berbincang dan berunding dengan Filipina, tindakan yang secara automatik mengiktiraf bahawa adanya tuntutan

Saya sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa kita tidak mengiktiraf, tidak memberi sebarang legitimasi dalam apa jua bentuk, dan tidak akan melayan apa-apa tuntutan ke atas Sabah daripada mana-mana pihak. Sabah telah diiktiraf oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB/UN) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 hari bulan September 1963.

Sewaktu saya masih Menteri Luar Malaysia, Negara Filipina tidak pernah sebegitu berani seperti sekarang ini.

Isu ini timbul semula kerana Ketua Menteri Interim telah secara semberono memberi legitimasi terhadap tuntutan tersebut melalui keinginan beliau untuk berbincang dan berunding dengan Filipina, tindakan yang secara automatik mengiktiraf bahawa adanya tuntutan. Pendekatan saya selama ini adalah mengekalkan dasar tidak mengiktiraf sebarang tuntutan.

Kesilapan ini saya salahkan kepada ketiadaan pengalaman atau ilmu oleh Ketua Menteri Interim, yang telah menjadikan Filipina lebih berani dengan tuntutan kosong mereka terhadap Sabah. Ini memperlihatkan kejahilan Ketua Menteri Interim dalam soal sejarah dan undang-undang antarabangsa, yang boleh memudaratkan kedaulatan kita.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah adalah tidak relevan, tidak diiktiraf, dan tidak harus diberi legitimasi (sebagai contoh, tidak seharusnya dibawa untuk perbicaraan atau didengar oleh mana-mana Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa). Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan terus kekal sedemikian rupa. Tindakan Ketua Menteri Interim Shafie untuk melayan tuntutan Filipina di mahkamah arbitrasi sebagaimana yang diterangkan beliau sebelum ini, boleh disamakan dengan 'memperjudikan kedaulatan Sabah' di dalam tangan mahkamah arbitrasi tersebut.

Saya ingin bertanya kepada beliau, kalaulah disebabkan oleh kelemahan beliau dan pasukan beliau dalam mempertahankan kedaulatan Sabah, Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa di Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada Filipina, apakah yang akan beliau buat seterusnya? Pada pendapat saya, beliau berkemungkinan menjadi individu yang menyebabkan Sabah hilang kedaulatan. Tindakan beliau berdiam diri dalam isu ini mungkin boleh disimpulkan sebagai 'binding his own feet' - di mana beliau tidak boleh membuat apa-apa kenyataan yang boleh menjejaskan kes ini di Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa, yang 'diberi legitimasi' oleh beliau.

Saya ingin memberi nasihat kepada Ketua Menteri Interim, supaya ambillah masa dan belajarlah lenggok serta ilmu dalam Hubungan Diplomasi, atau serahkan perkara tersebut untuk dikendalikan oleh pihak yang lebih arif agar kesilapan sebegini, yang berkait perihal kedaulatan Sabah, dapat dielakkan.

Datuk Seri Panglima Anifah Haji Aman
Presiden Parti Cinta Sabah
26 Ogos 2020

 

BACA BERKAITAN- Tuntutan Filipina terhadap Sabah, Shafie hanya mampu berdiam diri kata Anifah ]

BACA BERKAITAN-  Tuntutan Filipina terhadap Sabah: Mengapa Shafie Apdal berdiam diri? Jawapannya Mengejutkan Rakyat Sabah! ]

 

6 Comments