Kerajaan PN wajar tambah RM1000 kepada penerima BPN Sabah, lanjutkan pinjaman moratorium 3 bulan- Najib
11:10 Oct 21, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan PN wajar tambah RM1000 kepada penerima BPN Sabah,  lanjutkan pinjaman moratorium 3 bulan- Najib

Sabah paling terkesan dalam gelombang ketiga Covid ini. Lebih 70% kes Covid seluruh negara direkodkan di Sabah. Memberi bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah cuma menelan kos RM737 juta.

Seramai 737,797 rakyat Sabah dari golongan B40 dan M40 telah diluluskan bantuan BPN tahun ini.

Pada pendapat saya, ianya tidak keterlaluan untuk kerajaan tambah bantuan tunai RM1,000 khusus bagi penerima BPN Sabah.

Saranan saya ada asas dan tidak boleh dikatakan pilih kasih atas sebab-sebab berikut:

1. Sabah paling terkesan dalam gelombang ketiga Covid ini. Lebih 70% kes Covid seluruh negara direkodkan di Sabah.

Seluruh Sabah telah diletakkan dalam PKPB. Ada juga beberapa daerah sudah dilaksanakan PKPD yang jauh lebih ketat sejak 3 minggu lalu.

Memandang situasi Covid terkini, besar kemungkinan PKPB dan PKPD akan dilanjutkan lagi.

Jika golongan yang memerlukan tidak diberi lebih bantuan, mereka akan terpaksa melanggar PKP yang dilanjutkan untuk keluar bekerja. Dengan ini, penularan Covid di Sabah tidak akan berhenti dan negara akan terus mencatat jumlah kes Covid yang tinggi.

2. Sektor pelancongan yang merupakan antara sektor utama Sabah sedang hancur dengan sekatan rentas daerah dan larangan untuk kemasukan pelawat dari negeri-negeri lain Malaysia dan negara asing.

Ekonomi tempatan banyak bergantung kepada pelancongan.

3. Kadar kemiskinan dan purata pendapatan bulanan warga Sabah sudah antara paling rendah antara semua negeri.,

Keadaan ini bertambah parah setelah ekonomi Sabah hancur di bawah kerajaan Warisan di mana pertumbuhan ekonomi Sabah jatuh dari paling tinggi (8.2%) bawah BN pada tahun 2017 ke paling rendah antara semua negeri pada tahun 2018 (1.5%) dan 2019 (0.5%) sebelum Covid wujud.

[ARTIKEL BERKAITAN- Terbukti Kerajaan Warisan cipta rekod junamkan ekonomi Sabah terendah di Malaysia 2019 ]

Kadar kemiskinan Sabah akan meningkat lagi dan jurang antara Sabah dengan negeri-negeri lain akan bertambah besar jika kerajaan tidak memberi bantuan tambahan kepada Sabah pada masa mereka paling memerlukan dan paling terdesak.

4. Memberi bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah cuma menelan kos RM737 juta. Ini jauh lebih rendah dari cukai jualan petroleum sebanyak RM2.9 bilion yang dibayar kepada Sarawak bulan lepas.

5. Jika keengganan kerajaan untuk memberi bantuan tambahan kepada penerima BPN Sabah berpunca daripada kebimbangan kadar defisit negara menjadi lebih tinggi, kerajaan perlu ingat bahawa pengiraan kadar defisit adalah berdasarkan jumlah defisit dibagi dengan saiz KDNK negara.

Jika rakyat tidak dibantu dan dana tidak disuntik ke dalam ekonomi tempatan yang telah terhenti akibat PKP seluruh negeri, maka ramai perniagaan akan tutup dan pekerja dibuang. Ini akan turunkan KDNK negara. Bila KDNK negara turun, maka kadar defisit akan naik juga walaupun jumlah defisit tidak bertambah.

Mengurus ekonomi negara tidak sama dengan mengurus sebuah syarikat atau bank. Banyak faktor-faktor yang bersangkut paut.

Kerajaan PN sudah pinda undang-undang untuk naikkan had pinjaman kerajaan kepada KDNK dari 55% kepada 65% seperti saranan saya pada bulan April.

Kenaikan had ini adalah bersamaan dengan ruang tambahan pinjaman sebanyak RM150 bilion.

Jika kerajaan PN tidak ingin suruh Petronas tanggung kos RM737 juta ini dalam bentuk cukai jualan petroleum, kerajaan masih mempunyai ruang yang besar untuk meminjam jika tidak mahu jual aset.

6. Bayaran tambahan wang tunai RM1,000 (Cash is king yang dibenci Mahathir) terus ke dalam akaun bank penerima BPN yang sudah ada rekod adalah jauh lebih pantas dan efficient berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

Sebab itu, bayarlah sahaja tambahan RM1,000 untuk semua warga Sabah.

Lanjutkan juga moratorium pinjaman secara pukal bagi seluruh Sabah (jika tidak mahu beri kepada seluruh negara) sekurang-kurang 3 bulan lagi.

Dalam situasi PKP seluruh negeri yang berlanjutan dan kes Covid yang terus tinggi, bagaimana warga Sabah mampu membayar ansuran pinjaman bulanan?

Jangan sudah menang PRN, Sabah dilupakan pula.


By  Najib Razak

8 Comments