[VIDEO] Kes catat penurunan namun terdapat kluster baharu iaitu Kluster Numbak dan Kluster Nahaba
15:11 Nov 09, 2020  |  By SabahKini2
[VIDEO] Kes catat  penurunan namun terdapat kluster baharu iaitu  Kluster Numbak dan Kluster Nahaba

Jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 370 dengan tujuh kematian. Kes menurun tetapi terdapat kluster baharu di Kota Kinabalu dan Kota Belud


Sidang Media Perkembangan Semasa COVID-19 Negeri Sabah
YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 370 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 20,792 kes. Hari ini tujuh (7) kes kematian dicatatkan iaitu tiga (3) di Daerah Sandakan, dua (2) di Kota Kinabalu dan masing-masing satu (1) di Tuaran dan Tawau. Takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 967 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,992 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 753 orang di hospital dan 2,239 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 68 orang dan 20 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Kes-kes jangkitan COVID-19 pada hari ini mengikut daerah adalah seperti berikut:

 

Kunak bertukar dari zon merah ke zon jingga hari ini.

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu direkodkan iaitu:

  • Kluster Numbak di Daerah Kota Kinabalu sebanyak lapan (8) kes.
  • Kluster Nahaba di Daerah Kota Belud sebanyak 25 kes.

Daripada 370 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 131 kes (35.41%) adalah dari Daerah Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 239 kes adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 980 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 8,583 katil menjadikan jumlah keseluruhan 9,563 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 31.29%.

PEMBUKAAN PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID BERISIKO RENDAH (PKRC) BAHARU DI KOTA KINABALU, TUARAN DAN TENOM

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memantau keperluan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) yang baharu. Pengisian petugas kesihatan di PKRC yang baharu akan dibantu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui mobilisasi sumber manusia ke Negeri Sabah. Tiga lagi PKRC baharu telah dibuka di Negeri Sabah iaitu masing-masing terletak di Daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Tenom.

PKRC baharu di Kota Kinabalu terletak di Kompleks Penjara Kepayan (khas untuk banduan) yang mempunyai kapasiti 120 katil. Manakala, di Daerah Tuaran terletak di Dewan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang boleh memuatkan 60 katil. Bagi Daerah Tenom, ia terletak di Dewan Masyarakat Tenom yang boleh memuatkan 48 katil.

Pembukaan PKRC baharu ini diharapkan dapat menampung pertambahan pesakit di daerah-daerah yang terlibat. Secara keseluruhannya, Sabah mempunyai 34 buah PKRC iaitu 20 buah di Bahagian Pantai Barat dan 14 buah lagi di Bahagian Pantai Timur Sabah.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) DI SELURUH NEGERI SABAH

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negeri Sabah bermula 13 Oktober 2020 dan akan berakhir 9 November 2020.

Atas cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan agar PKPB di seluruh Negeri Sabah dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI PANGSAPURI MUTIARA KASIH DAN TAMAN KHAZANAH INDAH, LAHAD DATU

Kerajaan juga sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020 yang kemudian dilanjutkan lagi sehingga 9 November 2020.

Sehingga kini, berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini.

Atas nasihat KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu selama 14 hari bermula 10 November 2020 sehingga 23 November 2020.

 

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) KG SABAH BARU, LAHAD DATU

Sidang Khas MKN hari ini turut mendengar pembentangan MKN Sabah berkenaan situasi semasa COVID-19 di Kg. Sabah Baru, Lahad Datu.

Atas nasihat serta penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Kg Sabah Baru, Lahad Datu berkuatkuasa 10 November 2020 sehingga 23 November 2020.

PKPD ini akan melibatkan 701 buah rumah dengan bilangan penduduk seramai 3,917 orang.

SOP PKPD ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga jam 6.00 petang, pasar dibenarkan beroperasi selama dua (2) kali seminggu bermula 6.00 pagi sehingga 2.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

Selain itu, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan untuk keluar daripada kawasan PKPD untuk mengeluarkan duit daripada mesin ATM / Bank.

 

PENAMATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI FELDA UMAS, TAWAU

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Felda Umas, Tawau bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020 yang kemudian dilanjutkan sehingga 9 November 2020.

Sehingga kini, berdasarkan penilaian risiko dan saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati kes positif COVID-19 di kawasan ini telah menurun dan terkawal.

Sehubungan itu, atas nasihat KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju agar pelaksanaan PKPD di Felda Umas, Tawau ditamatkan pada 9 November 2020 seperti yang dijadualkan.

Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Negeri Sabah yang sedang berkuatkuasa.

 

SUMBANGAN AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

Amanah Ikhtiar Malaysia telah memberikan sumbangan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan kepada mangsa COVID-19 sebanyak RM50,000.00.

Kerajaan Negeri berharap lebih ramai Badan Bukan Kerajaan (NGO), Badan Berkanun dan orang perseorangan untuk tampil memberi sumbangan.

 

 

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 150,763 bakul makanan telah diagihkan.

 

[ARTIKEL BERKAITAN- 972 kes baru, kes Sabah turun 370 kes hampir 1000 kes sembuh ]

 

4 Comments