Presiden Warisan 'overconfident' hipokrit dan angkuh- Lajim dan Yong
17:01 Jan 16, 2018  |  By SabahKini2
Presiden Warisan  'overconfident' hipokrit dan angkuh- Lajim dan Yong

Shafie hipokrit dan angkuh, kita yakin rakyat dapat menilai sendiri siapa yang tidak mahu bekerjasama dalam GS

KOTA KINABALU: Wadahharapan melaporkan kepimpinan parti dalam Gabungan Sabah (GS) melihat kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak mahu bergabung bersama GS untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah adalah sebagai ‘Overconfident’.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pihaknya percaya tidak ada mana-mana parti politik mampu menjadi kerajaan di Sabah sekiranya tidak mempunyai gabungan atau kerjasama.

“Sebelum ini kami di GS pernah menawarkan kepada Warisan untuk bekerjasama dan menunggu mereka (Warisan) untuk mengadakan perbincangan bersama kita di GS, kita sedia berbincang.

“Namun beliau (Shafie) pernah membuat kenyataan bahawa kita di GS adalah sebagai ejen BN dan sebagainya, jadi biarlah rakyat menilai siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan kita,”katanya dalam satu sidang media disini petang tadi.

Tuduhan warna

Hadir sama Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan beberapa kepimpinan parti dalam GS. Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, pihaknya juga mahu Shafie menjelaskan maksud ‘warna sebenar’ sesetengah pemimpin dalam kepimpinan pembangkang khususnya di GS.

“Pada hari ini, kita mahu beliau (Shafie) menyatakan apa maksud warna sebenar pemimpin GS dan jangan membuat tuduhan serta firnah sedangkan hasrat kita di GS adalah untuk menumbangkan BN.

“Justeru, jika beliau tidak mahu menjalin kerjasama bersama kita, beliau tidak sewajarnya membuat tuduhan kepada parti pembangkang itu sendiri sedangkan matlamat adalah sama iaitu menumbangkan kerajaan BN,”katanya.

Sementara itu, Lajim berkata, perjuangan Shafie dalam pembangkang juga dilihat meniru dari beberapa pemimpin pembangkang lain khususnya dalam GS.

“Kita dapat lihat, apa yang mereka perjuangkan sebenarnya sudah diperjuangkan oleh pemimpin dalam GS seperti ‘Sabah For Sabahan’, Perjanjian Malaysia 1963 dan beberapa kepentingan dan hak rakyat Sabah.

“Justeru,saya bersama kepimpinan GS yang lain menganggap kenyataan ini sebagai hipokrit dan angkuh, kita yakin rakyat dapat menilai sendiri siapa yang tidak mahu bekerjasama dalam GS,”katanya.

Shafie Apdal dalam siri jelajah Program Bicara Presiden di Kota Belud dan Tuaran baru-baru ini terus memuji dan berbangga kerjasamanya dengan Tun Dr Mahathir Pengerusi Pakatan Harapan yang juga bakal PM Pakatan.

Shafie turut menyeru rakyat Sabah agar memaafkan segala kesalahan Tun Dr Mahathir termasuk projek IC di Sabah.


Bagaimanapun Shafie menafikan Warisan akan bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir bimbang parti Warisan dikaitkan dengan Dr Mahathir, PPBM dan Pakatan Harapan dari Semenanjung.

7 Comments