Tiada halangan, Ebit Lew, pembantunya perlu maklum program - DO Semporna
06:02 Feb 03, 2021  |  By SabahKini2
Tiada halangan, Ebit Lew, pembantunya perlu maklum program - DO Semporna

Kerajaan Sabah, PDRM dan pelbagai pihak lagi tiada halangan UEL teruskan misi bantuan. Cuma ada baiknya pembantu UEL di Sabah maklumkan kepada semua pihak berkuasa termasuk Pejabat Daerah. Ini lebih baik terutama jika melibatkan pembinaan bangunan

SEMPORNA: Tiada halangan untuk pendakwah terkenal Ebit Lew meneruskan misi bantuan di Semporna, Sabah.

Kerajaan Negeri dan PDRM sebelum ini turut memberi kenyataan media tiada halangan atas segala usaha bantuan namun perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa atas sebab-sebab keselamatan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kerajaan Sabah, PDRM tidak halang Ebit Lew teruskan misi bantuan di Semporna ]

Sementara itu Pegawai Daerah Semporna, Suhaimi Ejip, memaklumkan adalah lebih baik Ebit Lew atau pembantunya memaklumkan tujuan kedatangan kepada pihak berkaitan sebagai tuan rumah di daerah itu.

Suhaimi berkata beliau memahami niat ikhlas Ebit Lew tetapi pihaknya tidak menerima makluman daripada pembantu pendakwah bebas itu di Sabah.

"Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki 'rumah', kita harus mengetuk 'pintu rumah' terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna.

"Sebaliknya hanya memaklumkan jadual perjalanannya melalui pembantu peribadinya dan tidak bertemu secara bersemuka menerangkan tujuan dan jabatan yang mempunyai autoriti yang membenarkan individu atau agensi masuk ke daerah adalah Pejabat Daerah," katanya

Kebenaran bina struktur

Suhaimi berkata perkara itu perlu mengikut peraturan ditetapkan iaitu permohonan untuk mendirikan struktur melalui proses di bawah Ordinan Tanah Bab 68 (permohonan tanah) terlebih dahulu bagi tujuan pembinaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan pulau.

"Kita memberi sokongan moral kepada beliau sebagai Muslim namun untuk pembinaan penempatan di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS).

"Jika Ebit melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), mereka juga perlu rujuk kepada Pejabat Daerah. Kalau buat pondok sementara kita mungkin boleh benarkan atas dasar budi bicara namun jika mendirikan kelas KAFA ia bersifat kekal dan pulau itu ada pemilik atau pewarisnya," katanya.

Sehubungan itu, Suhaimi menasihatkan supaya mana-mana pihak termasuk NGO yang ingin melakukan perkara demikian tidak mengambil tindakan melulu dengan membina terus bangunan tanpa kebenaran tuan tanah terlebih dahulu.

Sementara itu netizen di Sabah melihat usaha Ustaz Ebit Lew sangat baik sepanjang tempoh beliau membuat lawatan dan kerja-kerja kebajikan di Sabah namun melihat para pembantu Ebit Lew di Sabah sewajarnya memberi penerangan sebenar program mereka dengan pihak berkuasa tempatan termasuk isu-isu tempatan di Sabah.

7 Comments