'Orang Kuat Shafie' Datuk Lan Allani didakwa 20 tuduhan rasuah, 2 kes ubah wang haram
08:02 Feb 05, 2021  |  By SabahKini2
'Orang Kuat Shafie' Datuk Lan Allani didakwa 20 tuduhan rasuah, 2 kes ubah wang haram

17 pertuduhan terima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, bagi hartanah "Dudley International House 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia”

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi MARA Incorporated (Mara Inc), Mohammad Lan Allani 'Orang Kuat Warisan' Shafie Apdal mengaku tidak bersalah atas 20 tuduhan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang berjumlah RM20.45 juta, membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Lan, 65, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua Mahkamah Sesyen, di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran Pejabat Peguam Negara bagi mendakwaMohammad Lan Allani, dengan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Hari ini, tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan “Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia” antara 2012 dan 2013.

Mahkamah menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes, dan membenarkan ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin, iaitu anak Lan sendiri. Pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Lan diwakili oleh Peguam Hisyam Teh Poh Teik, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib.

Kes Mohammad Lan Allani tertangguh lama sejak 2013 hinggalah PH memerintah dan kini di zaman PN kes ini didakwa di mahkamah. Kes ini dikaitkan dengan Datuk Seri Shafie Apdal selaku bekas Menteri KKLW dan juga Datuk Dr Yusof Yacob bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan MARA. Bagaimanapun setakat ini hanya Datuk Mohamad Lan Alani didakwa di mahkamah. 

[ARTIKEL BERKAITAN- Rasuah RM33.45 juta Mara Inc: Dato' Lan Allani 'Orang Kuat' Shafie Apdal hadapi 22 tuduhan]

 

42 Comments