Kerjasama Bersatu-UMNO di Sabah masih utuh tidak tergugat kata Hajiji
19:03 Mar 06, 2021  |  By SabahKini2
Kerjasama Bersatu-UMNO di Sabah masih utuh tidak tergugat kata  Hajiji

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara parti itu dengan UMNO Sabah tidak tergugat. Begitu juga Bung berkata UMNO Sabah-Bersatu kekal bersama

KOTA KINABALU: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara parti itu dengan UMNO Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah itu berkata, pihaknya menerusi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menumpukan berkerja demi rakyat di negeri ini.
 
 
"UMNO di peringkat pusat maklum hasrat kita untuk mengukuhkan gabungan GRS, dan Bersatu akan terus berkerjasama rapat dengan rakan kita di Sabah bagi menghormati mandat rakyat.
 
"Sekarang bukan masanya untuk perbalahan politik tetapi tumpuan diberikan terus berkerja demi rakyat.

"Kita berhadapan dengan masalah pandemik, cabaran ekonomi dan kesukaran yang dihadapi rakyat, jadi biarlah kita semua tidak terganggu tetapi berkerja bersama-sama menghadapi semua cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya pada petang Sabtu

Untuk rekod, UMNO dalam spekulasi baru-baru ini telah mendedahkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan di ibu negara semalam mendedahkan UMNO di negeri itu akan terus bekerjasama dengan Bersatu menerusi GRS yang ditubuhkan sebelum ini.

Jelas Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, UMNO di Sabah mempunyai status autonomi dan menjelaskan tiada masalah untuk terus menjalinkan hubungan dengan Bersatu dan lain-lain parti di bawah GRS.- AA

[ARTIKEL BERKAITAN- UMNO Sabah ada autonomi, tenang kami tetap kerjasama dengan Bersatu kata Bung ]

 

6 Comments