Menteri KETSA berpuas hati dengan TNB di Semenanjung tetapi bagaimana SESB di Sabah?
06:04 Apr 23, 2021  |  By SabahKini2
Menteri KETSA berpuas hati dengan TNB di Semenanjung tetapi bagaimana SESB di Sabah?

Di Semenanjung Menteri KETSA berpuasa hati dengan TNB. Semua nampak bagus di Semenanjung namun bagaimana TNB anak syarikatnya SESB di Sabah? Kerajaan boleh membayar ratusan hingga berbilion kepada Stesen IPP di Sabah tetapi hasilnya 'ke laut'.

Kerajaan dilaporkan ber­puas hati dengan peranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan perbekalan elektrik negara dalam usaha berterusan syarikat utiliti negara itu me­ningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menjadi hasrat kerajaan supaya rakyat terus mendapat bekalan elektrik dengan harga yang berpatutan.

TNB katanya perlu terus berdaya maju bagi meneruskan pelaburan modal dan mendapat pulangan setimpal yang boleh dikongsi dengan rakyat serta para pemegang sahamnya.

“Pengalaman daripada pandemik Covid-19 jelas menunjukkanTNB telah membuat pelbagai sumbangan dengan nilai yang amat besar bagi mengurangkan bebanan rakyat.

“Pencapaian TNB meningkatkan kualiti bekalan elektrik dengan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) di Semenanjung menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lalu harus dipuji.

“Walaupun SAIDI yang meru­pakan ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah di negara-negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun, namun saya percaya TNB boleh melakukan lebih lagi,” katanya pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu pejabat TNB, di sini.

Sepanjang tiga jam sesi lawatan, Shamsul Anuar diberikan taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian TNB yang mengambil kira keperluan rakyat, rancangan pelaburan modal TNB untuk tempoh 2022 hingga 2024 serta taklimat ringkas mengenai Kampus Ibu Pejabat baharu TNB yang sedang dalam pembangunan.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau yakin TNB de­ngan kekuatan lebih 35,000 warga kerja di bawah pimpinan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Baharin Din mampu terus menerangi negara selain melaksanakan program yang dirancang kerajaan.

“Ini termasuk mempertingkatkan lagi kualiti bekalan elektrik dan peranan tenaga solar serta meningkatkan peluang pekerjaan melalui program latihan semula dan peningkatan kepakaran (reskilling dan upskilling) bagi memenuhi keperluan bekalan industri tenaga,” ujarnya.

Bagaimana dengan Sabah? SESB milik TNB berjaya?

Netizen menganggap kenyataan Menteri berpuas hati hanya berkisar mengenai perkhidmatan TNB di Semenanjung tidak mengambil kira peranannya di Sabah yang dilihat masih kurang berkesan.

Ketika ini, TNB memiliki 82.75 peratus pegangan dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) manakala 17.24% dimiliki kerajaan negeri Sabah.

Kontroversi SESB anak syarikat TNB itu tidak pernah berakhir. Ketika Datuk Dr Maximus Ongkili sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sejak tahun 2018 ura-ura SESB dilaporkan seperti telur dihujung tanduk, "berada di ambang muflis."

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilaporkan mempertimbangkan secara serius untuk melupuskan pegangan sahamnya dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Usaha ini berterusan di bawah Kerajaan Warisan apabila terdapat usaha mengambil semula SESB daripada TNB dengan syarat Kerajaan Sabah perlu  membayar aset SESB bernilai kira-kira RM8 bilion dan kos lain yang ditanggung anak syarikat TNB itu.

[ARTIKEL BERKAITAN- Dulu TNB bersedia jual, kini Sabah bersedia beli SESB RM8 bilion walau tiada wang?

Pengambil alihan syarikat utiliti SESB oleh Shafie Apdal dan Datuk Peter Anthony Menteri Pembangunan Infrastruktur ketika itu gagal sehinggalah Pilihanraya Negeri Sabah diadakan semula. Siapa memerintah Kerajaan Sabah pun tidak mungkin akan mampu membelinya dengan harga RM8 bilion. RM8bilion terlalu besar sedangkan peruntukan belanjawan persekutuan untuk Sabah pun sekitar RM 5bilion setahun. 

SESB mempunyai banyak masalah dan liabiliti hutang dalam masa sama Kerajaan Sabah sedar akan keperluan meningkatkan keupayaan dalam usaha menarik pelabur ke Sabah dengan memastikan bekalan air dan elektrik sentiasa konsisten dengan harga berpatutan.

Berbilion ringgit peruntukan dan subsidi diberi kepada SESB namun masalah bekalan elektrik terus tidak mencukupi. Apa sudah jadi?

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah sebulan sebelum PRN Sabah (22 Ogos 2020) yang datang ke Sabah mengakui Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sejumlah RM26.4 bilion bagi tempoh 2001 hingga 2018 dalam bentuk geran, pinjaman dan subsidi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah.

Antara usaha yang telah diambil termasuklah menyediakan geran berjumlah RM2.3 bilion dan pinjaman berjumlah RM1.14 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk melaksanakan projek-projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) dan SESB.

Walaupun terdapat usaha menunjukkan pencapaian positif SESB di mana kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah yang diukur melalui Indeks Purata Tempoh Gangguan (System Average Interruption Duration Indeks - SAIDI) telah mengalami penurunan yang ketara iaitu daripada 4,109 minit/pengguna/tahun yang direkodkan pada tahun 2005 kepada 205 minit/pengguna/tahun pada tahun 2019. Selepas PRN Sabah gangguan itu berkurangan sehingga 189 minit/pengguna/tahun pada tahun 2020. Kini pada tahun 2021 kembali meningkat kepada 309 minit.

Jumlah SAIDI tetap masih lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar SAIDI di Semenanjung Malaysia.

Sabah tidak boleh terus berlarutan mengalami masalah bekalan elektrik. Pelabur luar tidak mungkin masuk ke Sabah jika masalah elektrik terus berlaku. Jika Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah, TNB dan SESB tidak mampu melakukannya maka Kerajaan Persekutuan perlu memberi peluang kepada Kerajaan Sabah melakukannya sendiri melalui pelaburan swasta yang menguntungkan rakyat Sabah.

Sabah tidak boleh terus bergantung kepada TNB/SESB semata atau penyedia tenaga bebas (IPP) konvensional yang meraih untung ratusan juta kerana dibayar mahal. 

Sabah tidak mungkin dapat menunggu lagi  sebuah penyedia tenaga bebas (IPP) berkapasiti 1,000 Mw yang sangat bergantung  bahan api fosil seperti petroleum dan gas. Sabah perlu menjana lebih banyak kuasa elektrik melalui tenaga hijau (tenaga boleh diperbaharui) supaya boleh mencapai harga elektrik yang lebih murah seperti solar, hidro, biomas dan biogas.Penjanaan kuasa di Sabah adalah 5 peratus daripada diesel dan 86 peratus daripada gas manakala 8 peratus  kuasa daripada tenaga hidro. 

Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri merangkao Menteri Kerja Raya sendiri mengumumkan bagi  menangani isu kekurangan bekalan elektrik  menerusi pemasangan kuasa solar dan janakuasa bergerak. Sekalipun ia dilihat sebagai langkah sementara tetapi adalah lebih baik membangunkan tenaga solar berbanding IPP berasaskan Diesel dan Gas.

Kedudukan stesen janakuasa di Sabah

Sabah terus tertinggal berbanding Sarawak  77 peratus daripada penjanaan kuasa keseluruhan negeri itu adalah daripada tenaga hidro dan hanya 1 peratus daripada diesel dan 11 peratus daripada gas. 

Tidak mudah membina empangan pada zaman sekarang apatah lagi jika empangan bersaiz besar yang mungkin mengorbankan kawasan serta sumber alam yang banyak. Belum masuk rakyat menentang pembinaan empangan dengan pelbagai alasan yang berasas. 

Sabah perlu melaksanakan Projek Solar Berskala Besar (LSS)

Mengapa Kerajaan Pusat dan Sabah tidak memanfaatkan sepenuhnya tenaga diperbaharui (RE)?  Jika sasaran kerajaan sekarang 31 peratus untuk tahun 2025 dan 40 peratus bagi 2035 mengapa tidak ditingkatkan lagi untuk Sabah?

Mengapa perlu memilih membina lagi stesen IPP konvensional yang terbukti mahal atau memperbanyakkan lagi IPP di Sabah? Kos tenaga di peringkat Sabah sebanyak RM0.565 / KWh daripada stesen janakuasa dan ada sesetengah IPP di Sabah kos tenaga setinggi RM0.98 / KWh. Bayangkan Kerajaan membuang kira-kira  RM480 ​​juta setahun untuk stesen janakuasa milik TNB/SESB dan RM1.15 billion milik IPP. Jika tempoh konsesi mencecah 15 hingga 25 tahun pastilah lebih teruk lagi setiap tahun.

Subsidi kerajaan berbilion ringgit itu lebih baik dibayar kepada tenaga diperbaharui. Oleh itu jawapannya kerajaan perlu melaksanakan Projek Solar Berskala Besar (LSS). Tenaga solar di Sabah bukan baharu. Sabah sudah ada pengalaman melaksanakannya. Misalnya Stesen Janakuasa  solar berskala besar (LSS) berkapasiti 50 megawatt (MW) di Kampung Lau San, Kudat oleh syarikat Tadau Energy Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat China iaitu CPI Power Engineering Co LTD (CPIPEC). Pelaburan projek itu RM300 juta dimulakan pada tahun 2017 disalurkan ke talian 132 kilovolt (kv) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).  Projek ini dibiayai menerusi penerbitan sukuk hijau bernilai RM250 juta iaitu pembiayaan patuh syariah pertama di dunia.

 

Sabah sudah jauh tertinggal dengan Semenanjung Malaysia sepatutnya  Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid  mengutamakan keperluan rakyat Sabah. Tidak salah berpuas hati dengan peranan TNB di Semenanjung namun anak syarikatnya SESB masih bergelut menyelesaikan masalahnya. 

Jika ada pihak pelabur domestik atau luar negara bersedia melaburkan berbilion ringgit demi  Projek Solar Berskala Besar mengapa tidak diterima? Kerajaan pusat dan negeri tidak perlu mengeluarkan duit sesen pun. 

 [ARTIKEL BERKAITAN- Sabah perlu pelaburan projek solar berskala besar ]

10 Comments