Menteri Sumber Manusia, MTUC Semenanjung mahu singkir wakil Sabah Sarawak dalam Perkeso?
19:07 Jul 24, 2021  |  By SabahKini2
Menteri Sumber Manusia, MTUC Semenanjung mahu singkir wakil Sabah Sarawak dalam Perkeso?

Apa sudah jadi? Wakil MTUC Sabah dipendekkan kontrak dalam Perkeso. Kuota Skim Insurans Pekerjaan, Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dan majlis perundingan gaji negara sudah diambil oleh wakil Semenanjung. Wakil MTUC Sabah di KWSP juga hampir disingkirkan

Apa sudah jadi? Selepas banyak perkara cubaan menganaktirikan Sabah kini kemelut dalam pertubuhan MTUC juga tercetus. Sebelum ini  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) nampaknya hanya berpura-pura bersuara untuk membela pekerja kilang Sabah Forest Industries Sdn Bhd yang tidak dibayar gaji oleh Grant Thornton Consulting Sdn Bhd (GTC)

Kini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Semenanjung dikatakan akan mengurangkan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Apakah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan yang berkuasa terhadap Perkeso juga bersetuju dengan cadangan  MTUC Pusat ini? Atau ini semua usaha mengurangkan wakil Sabah dan Sarawak dalam Perkeso untuk dijadikan sebagai 'Wakil Borneo' ? Kuala melantik Lembaga Pengarah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah kuasa Menteri.

MTUC Sabah menggesa kesatuan itu mengekalkan kerusi bagi wakil Sabah dan Sarawak dalam Perkeso

Setiausaha MTUC Sabah Catherine Jikunan berkata terdapat perbincangan bahawa kepimpinan di Kuala Lumpur akan menggabungkan jawatan diperuntukkan untuk setiap negeri dalam lembaga itu menjadi satu, yang dikenali sebagai “wakil Borneo”.

“Apa yang menjadi perhatian kami ialah jawatan itu akan diisi oleh wakil dari Semenanjung dan bukannya MTUC sama ada dari Sabah atau Sarawak,” kata Catherine Jikunan

Catherine Jikunan berkata kewujudan “wakil Borneo” untuk mewakili dua negeri adalah sesuatu yang bukan dimahukan oleh cawangan kesatuan negeri.

Dia menjelaskan sistem wakil dalam Perkeso di antara badan-badan lain, adalah berdasarkan kerjasama tiga pihak iaitu majikan, pertubuhan, kesatuan sekerja atau kerajaan.

Katanya, ia sudah menjadi amalan dalam mana-mana kerjasama tiga pihak sejak pembentukan negara ini.

“Oleh yang demikian, kami mendesak kepimpinan MTUC di Semenanjung untuk menghormati wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga. Kami menentang sebarang idea untuk mewujudkan ‘wakil Borneo’ yang dipilih dari Semenanjung

“Kami mendengar alasan kononnya Semenanjung adalah besar tetapi ia bukan isunya. Isunya sekarang ialah ini sudah menjadi amalan sejak dulu lagi (mempunyai wakil MTUC dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam lembaga.”.

Jikunan berkata setiap negeri mempunyai ordinan buruhnya sendiri dan tidak seharusnya melampaui bidang kuasanya.

Dia berkata MTUC Sabah juga bimbang apabila tempoh penggal pengerusi negerinya Awang Ali Ahmad Raji sebagai wakil Sabah dalam lembaga Perkeso ditamatkan dua bulan lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 31 Julai ini.

Katanya, jawatan itu diisi secara sementara oleh seseorang dari Semenanjung sehingga tempoh penggal berkenaan tamat.

“Mengapa tamatkan penggalnya lebih awal? Ini bermakna Sabah tidak mempunyai kerusinya di sana. Kami bimbang ini akan menjadi petanda terhadap apa yang akan berlaku nanti.

“Kita tidak boleh membiarkan orang luar membawa suara kami. Kita mempunyai wakil majikan dan kerajaan dari Sabah dalam lembaga Perkeso tetapi tiada dari MTUC negeri, ini tidak adil,” katanya.

Dia berkata MTUC Sabah mencalonkan semula Awang untuk pelantikan selama dua tahun dan keputusan hanya diketahui pada 1 Ogos nanti.

Catherine Jikunan yang mewakili MTUC negeri dalam lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mendakwa terdapat langkah sama dilakukan dalam lembaga itu tetapi ia tidak menjadi kenyataan buat masa ini.

“Saya dilantik semula untuk berada dalam lembaga itu selepas memperjuangkan kerusi itu,” katanya.


Mana suara SKN? Beliau adalah ahli Lembaga Pengarah KWSP

Dia berkata kesatuan negeri sudah memaklumkan kerajaan sabah dan Kementerian Sumber Manusia mengenai isu wakil Perkeso itu tetapi masih belum menerima sebarang jawapan.

Jikunan berharap kerajaan akan menyuarakan perkara itu dengan menegaskan bahawa wakil harus dipilih dari Sabah dan Sarawak.

Selain Perkeso, katanya, kuota dalam Skim Insurans Pekerjaan yang dikendalikan Perkeso, majlis penasihat buruh kebangsaan dan majlis perundingan gaji negara juga sudah diambil oleh wakil Semenanjung.

Mana Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Saravanan? apakah dia sedar tentang apa yang berlaku sekarang MTUC dan beberapa badan kerajaan di bawah pimpinannya sedang membelakangkan Sabah dan Sarawak?. Ini sangat tidak baik untuk keharmonian negara khususnya Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah Malaysia.

 

21 Comments