Hanya 94,000 dos vaksin Cansino sampai ke Sabah, KSU MOSTI 'capati' janji Kerajaan Pusat
09:08 Aug 26, 2021  |  By SabahKini2
Hanya 94,000 dos vaksin Cansino sampai ke Sabah, KSU MOSTI 'capati' janji Kerajaan Pusat

Belum pun ada Menteri kabinet dilantik. KSU MOSTI sudah mula tunjuk perangai 'Napoleon Kecil'. Menunjuk kuasa. Janji kerajaan pusat sebelum ini bawah KJ ialah menghantar jumlah vaksin Cansino lebih besar untuk luar bandar. Tapi KSU buat kepala sendiri.

Sabah menerima 94,000 bekalan dos vaksin jenis CanSino yang dihantar ke negeri ini menerusi dua penghantaran sejak dua hari lalu.

Ia membabitkan penghantaran pertama sebanyak 50,800 dos yang tiba semalam manakala kumpulan kedua sebanyak 43,200 dos vaksin yang tiba kira-kira jam 9 pagi tadi di Mas Kargo Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) jam 9.05 pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin mengesahkan penerimaan Vaksin tunggal Cansino itu. Beliau berharap vaksin ini dapat membantu melancarkan program vaksinasi di negeri ini.

“Lebih 1.46 juta penduduk di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala 866,228 orang lagi telah melengkapkan dua dos suntikan.

“Kadar vaksinasi orang dewasa iaitu 18 tahun dan lebih di negeri ini telah mencapai 53.3 peratus (dos pertama) dan 31.4 peratus daripada mereka telah menerima dua dos lengkap,” katanya

Dr Rose Nani berkata, pihaknya dan kerajaan negeri Sabah akan terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman dan sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin secara ‘walk-in’.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mengemukakan permohonan agar Sabah diberi keutamaan untuk menerima CanSino dan telah memohon 1.8 juta dos vaksin jenis itu kepada Kerajaan Persekutuan. Khairy Jamaludin Menteri Penyelaras JKJAV juga telah mengumumkan perkara itu.

[ARTIKEL BERKAITAN- Janji KJ Sabah negeri pertama mendapat vaksin CanSino]

 Janji KJ Sabah negeri pertama mendapat vaksin CanSino

Namun sejak ketiadaan Menteri Kabinet khususnya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Dato’ Sri Dr Adham Baba Menteri Kesihatan nampaknya pelan pemberian vaksin diubah oleh Ketua Setiausaha Kementerian.

Menurut sumber banyak perkara dibuat sendiri oleh Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu yang sekarang memangku tugas Pengerusi  Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Tanpa menunggu Menteri baharu beliau mengarahkan semua Pusat Pemberian Vaksin di Lembah Kelang ditutup segera. Sekalipun pemberian vaksin di Lembah Kelang mencapai 80 peratus ia mungkin masih terlalu awal sehingga pelantikan kabinet baharu.

Terbaru beliau memungkiri janji Kerajaan Pusat bahawa vaksin Cansino dos tunggal dihantar ke Sabah dalam jumlah yang besar sebaliknya hanya mengarahkan penghantaran kurang 100 ribu dos.

Sebaliknya Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) menghantar pula vaksin lain seperti 70,000 dos vaksin SinoVac dan Pfizer sebanyak 252,720 dos.

Vaksin Cansino atau dos tunggal sangat perlu kepada  penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah, jika jumlahnya sedikit ia tidak akan mencapai matlamat sebenar.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Masnah Matsalleh mengesahkan penerimaan vaksin itu dan meyakini akan menerima lagi 86,000 dos Cansino esok (27 Ogos)

“Sabah bakal menerima 86,000 dos vaksin sama pada 27 Ogos ini

‘Selain vaksin CanSino, kita juga menerima 70,000 dos vaksin SinoVac pada hari ini beberapa jenis vaksin seperti Pfizer sebanyak 252,720 dos” katanya.

Masnah yang juga Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri berkata, Sabah juga dijangka akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor pada Jumaat ini.

Jika pun 94 ribu dos vaksin Cansino yang telah dihantar awal dan 86,000 dos lagi esok jumlah itu masih belum mencapai 200 ribu dos. Ia tidak mencukupi untuk luar bandar atau pun jika suntikan perlu diberi kepada warga asing di Sabah. Ia mencerminkan sikap pengawai kerajaan Pusat jenis 'Napoleon kecil' tidak menepati janji dan hanya bersikap cukup syarat kepada Sabah. Sikap ini mengundang kemarahan rakyat Sabah sebelum ini. Sabah bukan 'Kelas Kedua'

Sehingga semalam lebih 1.5 juta penerima dos pertama vaksin di Sabah, lebih 900 ribu dos kedua menjadikan kumulatif pemberian vaksin di Sabah ialah 2.4 juta sebagaimana dilaporkan melalui infografik portal Sabahmedia.com 

 

 

2 Comments