SPRM tahan 19 kontraktor tapi pegawai dalang kartel tender Lembaga Perolehan Sabah masih bebas?
23:03 Mar 05, 2022  |  By SabahKini2
SPRM tahan 19 kontraktor tapi pegawai dalang kartel tender Lembaga Perolehan  Sabah masih bebas?

Berpuluh ditangkap pemalsuan dokumen dan penyata bank palsu sejak 2018.Setiap tahun terus saja ada tangkapan baru. Semua ini kartel tender yang tersusun. Puncanya harus ditangkap iaitu Pegawai dalang dalam Lembaga Perolehan kerajaan..

Seramai 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah.

Semua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Katanya, penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy  berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, semua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita itu akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.

"SPRM Sabah sudah menahan seramai 39 kontraktor dipercayai mempunyai modus operandi sama, membabitkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta, pada 2020, manakala melakukan sebanyak 132 pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah, tahun lalu.

"SPRM memandang serius kesalahan terbabit dan susulan daripada kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan," katanya.

Isu kartel tender yang mengemukakan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bukan baru. Tahun 2019 saja media melaporkan seramai 25 individu merangkumi pemilik dan pengurus syarikat ditahan di negeri ini bagi siasatan berkaitan pemalsuan dokumen dan mengemukakan penyata bank palsu bagi mendapatkan tender Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dari tahun 2016 hingga 2018.

 SPRM tahan 25 individu tipu tender Jabatan Pendidikan Sabah

 

SPRM Sabah gagal kawal Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah atau teknikal JPNS

Apapun langkah SPRM Sabah menangani penipuan kartel tender JPNS ini tidak akan mungkin selesai kerana biasanya pegawai yang menguruskan teknikal tender bersubahat dengan kontraktor menyusun semua dokumen untuk mendapat tender itu.

Karunanithy Pengarah SPRM Negeri Sabah tidak mungkin akan menyelesaikan masalah berulang ini setiap tahun kerana kartel tender yang memegang lesen telah menyusun semua tender sekolah seperti kawalan keselamatan, membekal makanan kantin, pembersihan dan penyelenggaraan dengan pegawai Pejabat Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah

SPRM buatlah 1000 Forum Anti Rasuah selagi tidak menyelesaikan isu di mana bermulanya kartel tender JPNS ini. Pegawai terlibat bersekongkol dengan kontraktor sewajarnya ditangkap dan paling tidak  Ahli Jawatankuasa Tender JPNS itu diwakili seorang daripadanya pegawai SPRM untuk melihat sendiri bagaimana pegawai yang menjaga teknikal dan kewangan melaksanakan tugas mereka dengan betul.

Kontraktor yang mengemukakan dokumen palsu biasanya percaya pegawai yang menguruskan tender termasuk pegawai teknikalnya tidak memeriksapun butiran tender yang dihantar oleh kontraktor sama ada dokumen penyata bank, salinan sijil lesen perniagaan, CIDB, KWSP dan lain-lain lagi.

Sekalipun terdapat banyak perakuan dalam tender perlu ditandatangani seperti perakuan pembida, perlantikan jawatankuasa perolehan, surat akuan Ahli Lembaga/Jawatankuasa Perolehan dan banyak lagi (pekeliling perbendaharaan) rasuah tetap akan berlaku.

SPRM perlu mencari dalang pegawai yang terlibat menguruskan tender. Inilah kuncinya. Pegawai-pegawai ini sudah dibayar oleh kontraktor untuk memastikan kartel setiap tahun menguasai tender JPNS. Mereka seperti mempunyai dua gaji satu sebagai pegawai kerajaaan dan satu lagi rakan niaga kartel tender.

Dalang kartel gagal ditangkap! Kebanyakan kontraktor ditangkap hanya penama syarikat, menandatangani dokumen tetapi mereka tidak tahu apapun mereka lakukan kerana syarikat itu dikawal kartel. Akhirnya penama syarikat diheret ke mahkamah.

Inilah punca mengapa Dr Mazlee Malik Bekas Menteri Pendidikan melakukan cubaan membatalkan perwakilan kuasa pengawal KPM kepada Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah dan Sarawak bagi projek perolehan Bekalan dan Perkhidmatan melalui surat KPM 14 Novermber  2018.

Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah dan Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak yang punya kuasa meluluskan tender RM5 juta ditarik balik dan dikuasai oleh KPM di Putrajaya kerana Menteri KPM tidak boleh mencampuri urusan tender di Sabah Sarawak selagi jawatankuasa tender diputuskan di negeri. Dr Mazlee sanggup membatalkan banyak  tender semata-mata mahu membolot semua tender untuk kroninya.

[ARTIKEL BERKAITAN- Menteri Pendidikan mahu ‘bolot’ projek tender KPM arah batal kuasa perolehan Sabah ]

Namun pertukaran gagal dilakukan dan kartel tender terus berjaya menguasai Lembaga Perolehan Persekutuan Sabah atau teknikal di JPNS sehingga hari ini..Siapapun kerajaan memerintah kartel tender terus kukuh kerana mereka memguasai pegawai perolehan tender. Maka tidak menghairankan isu kartel di JPNS ditangkap setiap tahun oleh SPRM.

Kartel tender berada di mana-mana termasuk di semenanjung yang kecoh kartel menguasai tender di pejabat kerajaan Putrajaya tahun lalu. 

 

 

 

 

 

Comment