[VIDEO] Nicky didakwa 26 tuduhan pengubahan wang haram RM36 Juta
22:04 Apr 12, 2022  |  By SabahKini2
[VIDEO] Nicky didakwa 26 tuduhan pengubahan wang haram RM36 Juta

Nicky didakwa mengubah secara haram RM36 juta daripada pelbagai transaksi yang dijalankan di beberapa bank di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 dan 2021

Nicky Liow, yang disyaki mengetuai kumpulan jenayah terancang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 26 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut terhadap semua tuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Helina Sulaiman.

Dia didakwa mengubah secara haram RM36 juta daripada pelbagai transaksi yang dijalankan di beberapa bank di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 dan 2021.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Liow berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin. Hakim membenarkan ikat jamin itu dibayar dalam dua ansuran, dengan yang terakhir mesti dibayar esok.

Liow turut diarah menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dua kali sebulan.

Mahkamah menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozaliana Zakaria dan Syafinas Shabudin, manakala Liow diwakili peguam Rajpal Singh.

Liow menyerah diri kepada JSJK Bukit Aman semalam selepas melarikan diri daripada polis berkait dakwaan sindiket Macau Scam tahun lepas.

Tindakan keras polis membawa kepada penahanan puluhan individu yang disyaki menjadi anggota sindiket tersebut.

Dua pegawai SPRM dan sekurang-kurangnya sembilan pegawai polis yang dikatakan bersubahat turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

[ARTIKEL BERKAITAN- Setahun diburu kini kawan baik bekas Timbalan Menteri Nicky Liow serah diri  ]

 

Comment