Invois, baucar palsu untuk bayar rasuah RM100 ribu, 'Coklat' RM2 juta Lim Guan Eng
08:06 Jun 28, 2022  |  By SabahKini2
Invois,  baucar palsu untuk bayar rasuah  RM100 ribu, 'Coklat' RM2 juta Lim Guan Eng

Bukan senang nak bagi Lim Guan Eng tersenyum. Pembayar rasuah nak bayar RM100k, dan Coklat RM2 juta pun perlu invois dan baucar palsu guna syarikat Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) dan Bintang Ria Engineering (BRE).

Invois, baucar palsu untuk keluar duit syarikat sogok Lim 

Satu persatu  apa yang didedahkan beberapa tahun lalu mengenai skandal rasuah Lim Guan Eng terbongkar. Jika kes Lim Guan Eng tidak dibicara tak mungkin rasuah Lim Guan Eng diketahui rakyat.

Sebelum ini kes Banglo Murah telah digugurkan oleh Tommy Thomas Bekas Peguam Negara pro PH.

Tapi kini banyak perkara baru didedahkan lagi.

Terbaru saksi kes yang juga Bekas naib presiden kanan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBSB) memberi keterangan bahawa invois dan baucar pembayaran (PV) dipalsukan untuk mengeluarkan wang syarikat sebagai sogokan kepada Lim Guan Eng.

Azli Adam memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa cek berdasarkan dokumen palsu telah digunakan oleh pengarah eksekutif kanan syarikat tersebut Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk mengeluarkan wang berkenaan yang kemudian diberikan kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata Zarul mengarahkannya mendapatkan khidmat pihak ketiga yang tidak dinamakan bagi mendapatkan kepala surat palsu dan format dua syarikat tidak aktif - Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) dan Bintang Ria Engineering (BRE).

Dia memberi keterangan bahawa pemalsuan ini, yang dilakukan antara 2012 dan 2017, kemudian digunakan untuk mendapatkan cek yang membolehkan Zarul mengeluarkan wang daripada CZBSB sebagai bayaran rasuah kepada Lim.

 

‘Tersenyum terima suapan dengan senyuman’

Azli mendakwa antara RM10,000 dan RM15,000 telah dibayar kepada orang tengah yang tidak dinamakan itu untuk mendapatkan invois palsu terbabit.

“Saya mengesahkan bahawa saya dimaklumkan oleh Zarul (susulan penahanan Zarul oleh SPRM pada 2018) berhubung pembayaran rasuah kepada Lim Guan Eng, sebahagian daripada wang yang ditunaikan menggunakan invois dan PV SBCS dan BRE berdasarkan modus operandi pemalsuan dokumen,” dakwa Azli.

Sebelum ini, Zarul memberi keterangan bahawa Lim tersenyum apabila menerima suapan RM100,000 pada 2013.

24 Jun lalu Zarul mengaku menggunakan orang tengah bernama Dato' Gnanarajah untuk menyerahkan RM2 juta yang diberi kod nama ‘coklat’ kepada Lim Guan Eng, kerana takut untuk memegang wang tunai dalam jumlah banyak.

Azli Adam bertanggungjawab mengeluarkan wang RM2 juta itu pada 17 Ogos 2017.

Ahli Parlimen Bagan Datuk Lim dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek Terowong Bawah Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Lim berhadapan pertuduhan pertama menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang,

Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Gobind Singh Deo.

 

Subjudis Guan Eng minta maaf

Semalam Hakim Mahkamah Sesyen turut menzahirkan kekecewaan dan menegur tindakan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis berhubung kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang sedang dibicarakan.

Hakim Azura Alwi berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding mahkamah.

Katanya, pihak berkaitan juga diingatkan untuk tidak mengambil mudah perkara berbangkit bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

Jumaat lalu, Guan Eng menyifatkan keterangan saksi mahkamah yang mendakwa beliau menerima rasuah tidak benar dan satu rekaan semata-mata.

Pengerusi Dap itu dipetik berkata, beliau tak menerima satu sen dan jelas tiada sebarang jejak wang sama ada dalam bentuk wang tunai atau dalam akaun bank.

Sehubungan itu   Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah dirujuk dengan satu laporan polis membabitkan artikel dikeluarkan Guan Eng yang menyatakan tidak bersalah atas tuduhan jejak wang (rasuah).

"Kita memohon mahkamah memberi teguran supaya ia tidak berlaku lagi (keluarkan kenyataan subjudis), itu sahaja," katanya.

Susulan itu, peguam Guan Eng Gobind Singh Deo berkata, pihaknya memahami dan menerima permohonan dibuat pihak pendakwaan bahawa kenyataan itu, tidak sepatutnya dikeluarkan.

"Kami memohon maaf jika ia menimbulkan sebarang kesulitan," katanya.

Bukan kali pertama Guan Eng berbohong kerana sebelum ini beliau berkata tidak mengenali Dato’ Gnanarajah yang kerap kali bertemu dengannya menerima wang rasuah. Akhirnya saksi mendedahkan hubungan Lim Guan Eng dengan Dato’ Gnanarajah.

 

ARTIKEL LAMA BERKAITAN- 

3 Mac 2019: Dokumen SPRM bocor, Raja Petra berbohong? Lihat fakta kes buktikan Lim Guan Eng dan Exco ambil rasuah ]

 

 

Comment