Sabah banteras aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan- Masidi
15:07 Jul 01, 2022  |  By SabahKini2
Sabah banteras aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan- Masidi

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah-langkah seperti menambahbaik proses penguatkuasaan dan kutipan akan dilakukan dengan sebaiknya.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk mengekang kes melibatkan aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat yang terlibat kepada Kementerian Kewangan Negeri (KKN) dari terus berlaku.

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah-langkah seperti menambahbaik proses penguatkuasaan dan kutipan akan dilakukan dengan sebaiknya.

Katanya, ini termasuklah pindaan(jika perlu) ke atas undang-undang dan peraturan-peraturan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dan kepentingan Kerajaan Negeri terjaga.

“Saya mengambil perhatian serius berikutan kes melibatkan aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat yang terlibat kepada KKN Sabah yang dilaporkan melalui sesi Khidmat Nasihat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah.

“Justeru, Kerajaan Negeri khususnya KKN Sabah juga bersetuju untuk mewujudkan Integrated System secara atas talian (online) antara KKN Sabah dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mencegah pemalsuan pengisytiharan oleh syarikat,” katanya hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, satu unit petugas khas (Task Force) akan dibentuk melibatkan KKN Sabah, MPOB dan SPRM bagi tujuan mengutip semula cukai jualan sekiranya ada yang masih belum diisytiharkan kepada KKN Sabah.

Katanya, KKN Sabah juga bersetuju memberikan tempoh moratorium Bayaran Balik Cukai kepada syarikat yang terlibat.

“Syarikat-syarikat boleh memohon untuk taksiran semula sekiranya mereka membuat pengisytiharan butiran yang tidak betul kepada KKN Sabah dan membayar cukai yang sebenar selepas taksiran dibuat oleh pihak KKN Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah juga akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam usaha-usaha pencegahan rasuah di negeri Sabah,” katanya.

28 Jun lalu Masidi juga menubuhkan 'Task Force' bersama KKN dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  bagi menangani isu-isu penipuan cukai. Syarikat-syarikat yang mendapat projek kerajaan untung tetapi menipu cukai dan tidak melaksanakan kerja-kerja kontrak.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kerajaan Negeri tubuh Jawatankuasa Khas MOF Sabah dan LHDN benteras penyelewengan cukai ]

Mei lalu kecoh mengenai tangkapan beberapa pegawai MOF dan pesara berhubung perisytiharan cukai palsu oleh Syarikat Kilang BELL Group di mana kerajaan negeri hilang hasil mencecah lebih RM1bilion. Beberapa syarikat dikenal pasti selepas siasatan SPRM.

Comment