Kekal berstatus PN17, Capital A terus rugi lebih besar RM931.22 juta
02:08 Aug 28, 2022  |  By SabahKini2
Kekal berstatus PN17, Capital A terus  rugi lebih besar RM931.22 juta

Sekalipun Capital A mengumumkan perolehan melonjak tetapi kerugi terus meningkat sehingga RM931.22 juta. Sehingga 2 Ogos Air Asia X Berhad & Air Asia Group Berhad (Capital A) masih berstatus PN17.

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM931.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM580.06 juta pada suku yang sama tahun lalu disebabkan kerugian pertukaran asing berjumlah RM480.3 juta.

Perolehan melonjak kepada RM1.47 bilion daripada RM388.91 juta untuk suku kedua sebelumnya dan RM2.278 bilion setakat ini hasil daripada perjalanan udara yang bertambah baik pada tempoh terbabit, kata kumpulan syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

"Pada suku kedua, 84 peratus daripada pendapatan kumpulan itu disumbangkan segmen penerbangan manakala enam peratus daripada hasil diperoleh daripada perniagaan logistik, 5.5 peratus daripada perniagaan digital dan lain-lain dan baki 4.5 peratus disumbangkan oleh perniagaan kejuruteraan," kata Capital A.

Capital A berkata, kumpulan penerbangan itu melaporkan perolehan sebanyak RM1.38 bilion untuk suku kedua 2022, meningkat sebanyak 475 peratus tahun ke tahun disebabkan penyambungan semula perjalanan domestik dan antarabangsa.

Susulan daripada kelonggaran sekatan dan permintaan perjalanan udara yang baik, kumpulan itu membawa 5.56 juta penumpang pada suku di bawah kajian, meningkat 633 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan penumpang meningkat sebanyak 16 mata peratusan kepada 84 peratus.

Kos operasi meningkat 243 peratus tahun ke tahun kepada RM1.25 bilion pada suku kedua 2022 dengan kos bahan api melonjak dengan ketara sebanyak 68 peratus kepada purata harga bahan api AS$151 setong.

Kos kakitangan dan perbelanjaan penyelenggaraan kebanyakannya membabitkan kru penerbangan dan kakitangan, meningkat dengan ketara tahun ke tahun seiring dengan pemulihan penerbangan.

Mengenai prospek, Capital A berkata bagi perniagaan penerbangan kumpulan itu, ia kembali normal dalam perjalanan domestik tahun ini serta pemulihan pesat dalam trafik udara antarabangsa sepanjang 2022 dan tahun depan.

Pasaran hasil tinggi itu mungkin akan berlanjutan disebabkan oleh permintaan terpendam yang kukuh, landskap kompetitif yang rasional dan penjualan memberangsangkan daripada produk lain daripada penyambungan semula penerbangan antarabangsa, katanya.

"Prospek keuntungan memberi petunjuk peningkatan, memandangkan trend harga bahan api yang lebih rendah susulan daripada kebimbangan terhadap permintaan yang semakin lemah.

"Bagaimanapun, susut nilai mata wang di ASEAN dan kos penyelenggaraan yang tinggi untuk mengaktifkan semula operasi pesawat terus menjadi cabaran," katanya.

Capital A berkata, susulan penyambungan semula lorong antarabangsa, Capital A menjangkakan perniagaan logistiknya Teleport akan berkembang dengan kapasiti kargo dan penggunaan akan meningkat pada separuh kedua tahun ini

Januari lalu Air Asia Group Berhad dan Air Asia X Berhad diumumkan sebagai syarikat PN17 sebelum menukar namanya kepada Capital A Berhad.

Menukar nama sebagai strategi memulihkan imej teruknya dan memperluaskan lagi skop perniagaan daripada sekadar syarikat penerbangan. Ramalan ahli ekonomi juga menyifatkan Capital A masih sukar keluar dari status PN17.

Hari ini nampaknya Capital A Bhd terus rugi sehingga RM931.22 juta berbanding RM580.06 juta tahun lalu. Setakat 2 Ogos Capital A masih berstatus PN17.

 

Comment