“BN Sabah menafikan perkara ini dan saya selaku Ketua BN Sabah, kita terus akan berkerjasama dengan GRS untuk mentadbir kerajaan negeri Sabah,” - Bung
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan terdapat usaha untuk menggantikan kerajaan yang ditadbir oleh parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada kerajaan BN-Parti Warisan (Warisan).
Jelas beliau, tindakan pihak tertentu menyebarkan khabar angin dengan mengaitkan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan usaha itu sebagai berniat jahat dan bertujuan untuk mengganggu pentadbiran GRS-BN di negeri itu.
“Merujuk cakap-cakap yang mengatakan ada wakil rakyat atau ADUN BN terlibat dengan usaha menggantikan kerajaan sedia ada, ia adalah palsu dan sengaja disensasikan oleh pihak tertentu.
“BN Sabah menafikan perkara ini dan saya selaku Ketua BN Sabah, kita terus akan berkerjasama dengan GRS untuk mentadbir kerajaan negeri Sabah,” ujar Bung dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Portal Sabahkini2 rabu lalu mendedahkan empat ADUN BN Sabah dalang akaun bersumpah (SD) menyokong Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Siapa empat Adun BN itu tidak disebutkan dalam laporan itu.
[ARTIKEL BERKAITAN- 4 Adun BN Sabah dalang SD cubaan tukar kerajaan negeri sokong Shafie Ketua Menteri Sabah Baharu?]
Dengan penafian Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah maka jelaslah kini tiada usaha menggantikan kerajaan GRS-BN sekarang.
Katanya, kerajaan yang dipimpin oleh GRS-BN akan terus memberi fokus terhadap pembangunan negeri itu dan tidak akan melayan sebarang kerenah politik yang sengaja ditimbulkan.
“PRU15 sudah berlalu, jadi ini waktunya kita berkerja dan mempertingkatkan usaha menjaga kebajikan rakyat.
“Daripada terus melayan kerenah atau teori politik pihak tertentu, ada baiknya kita di pihak kerajaan menumpukan rakyat, pembangunan negeri Sabah,” tambah Bung.