Kekal hubungan dengan Kerajaan GRS, Zahid minta Umno Sabah jangan ‘guris hati’ rakan kerajaan perpaduan
08:04 Apr 09, 2023  |  By SabahKini2
Kekal hubungan dengan Kerajaan GRS, Zahid minta Umno Sabah jangan ‘guris hati’ rakan kerajaan perpaduan

Zahid Hamidi TPM memberi jaminan Hajiji Noor kekal sebagai ketua menteri Sabah sehingga PRN akan datang (2025). Pemimpin UMNO Sabah dan ahlinya dinasihatkan “tidak mengguris hati” rakan dalam kerajaan perpaduan negeri itu demi kestabilan politik Sabah

Pemilihan UMNO telah selesai, Zahid kekal Presiden manakala ramai pengikutnya menang Majlis Tertinggi, UMNO Negeri juga dirombak bagaimanapun bagi Sabah Datuk Seri Bung Moktar yang menang MT dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Rahman Dahlan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan dan Datuk Yakubah Khan sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Sabah.

Isu Kerjasama politik antara UMNO Sabah dan Warisan juga masih bermain-main seolah-olah polemik politik Sabah belum berakhir. Ini termasuk pengumuman lebih awal penggantungan Datuk Ir Shahelmy Yahya Timbalan Ketua Menteri Sabah oleh Bung Mokhtar  sebelum dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO Malaysia. Ir Shahelmy setakat ini berkata belum menerima apa-apa surat rasmi daripada UMNO Malaysia.

Terbaru sempena lawatan kerja Datuk Seri Zahid Hamidi ke Sabah, Presiden Umno itu menasihatkan pemimpin UMNO Sabah dan ahlinya di Sabah “tidak mengguris hati” rakan dalam kerajaan perpaduan negeri itu demi kestabilan politik.

Beliau berkata, tempoh bertenang disarankan sebelum ini susulan krisis politik perlu diteruskan untuk menjamin kedudukan Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah sehingga PRN akan datang dijadualkan sekitar 2025.

Menurutnya, kerjasama erat di peringkat pusat dan negeri bukan sahaja diterjemahkan dengan peruntukan tinggi tetapi hubungan antara parti mendokong kerajaan perpaduan.

“Untuk Umno sendiri saya telah memberitahu rakan-rakan saya dari Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.

“Terdapat beberapa langkah penyelesaian dilakukan dan kita mencari kaedah terbaik supaya kerajaan di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN akan datang,” katanya

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berharap pembahagian jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antara parti membentuk pentadbiran di Sabah dikekalkan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan bertempat di Masjid Jamek Kampung Benoni, Papar.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Mengulas mengenai di antara Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Ahmad Zahid berkata kedua-duanya perlu mempunyai keserasian bersama dalam memajukan Sabah.

"Keserasian mesti mewujudkan. Saya fikir kedua-dua mereka secara jujurnya adalah pemimpin Umno Sabah yang berada di tahap peringkat pusat di mana mereka menunjukkan prestasi baik," katanya.

Januari lalu, Bung Moktar Radin dengan kerjasama Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan Barisan Nasional (BN) tidak lagi menyokong Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah.

'Langkah Pai Ulung' Hipokritnya Shafie Apdal guna alasan Perkara 6(7) gulingkan Hajiji

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila sebilangan wakil rakyat BN kekal menyokong Hajiji.

Kemelut itu melarat sebelum penggantungan dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno apabila lima Adun keluar Umno iaitu Yusof Yacob (Sindumin), Jasni Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung), dan James Ratib (Sugut). Mereka menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Hajiji.

Sementara beberapa wakil rakyat Warisan melompat menyertai Gagasan Rakyat iaitu Awang Ahmad Sah (Petagas), Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), dan Norazlinah Arif (Kunak) yang sebelum ini sudah ada desas-desus keluar Warisan tidak tahan kepimpinan Shafie Apdal menipu mereka.

 

 

328 Comments