Kartel ayam: MyCC kenakan penalti RM415.5 juta 5 syarikat, taikun Robert Kuok FFM Bhd cabar MyCC
13:12 Dec 23, 2023  |  By SabahKini2
Kartel ayam: MyCC kenakan penalti RM415.5 juta 5 syarikat, taikun Robert Kuok FFM Bhd cabar MyCC

Sekali lagi MyCC mengenakan denda kini jumlah terkumpul RM415.5 juta!. Apakah kartel -kartel ayam ini mengaku? pastinya mereka seperti biasa akan mencabar dakwaan MyCC di mahkamah. FFM Berhad milik Taikun Robert Kuok paling awal mencabar MyCC

5 Ogos tahun lalu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan bagi siasatan terhadap isu berkaitan persaingan dalam industri ayam dan telur kepada lima syarikat pengeluar ayam iaitu 

  1. Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Milik Malayan Flour Mills Bhd (MFM)
  2. FFM Berhad (Robert Kuok)
  3. Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd (Gold Coin Group )
  4. Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd (Leong Hup International Bhd)
  5. PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (CP Malaysia)

ARTIKEL BERKAITAN - Kartel makanan ayam: MyCC kenakan penalti kewangan RM46.36 juta syarikat taikun Robert Kuok FFM Bhd

Kartel seperti FFM Bhd menafi dan mencabar  keputusan MyCC itu.

Tahun ini nampaknya kesinambungan dari siasatan lama lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan itu kini dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat iDindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.

Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam keputusannya berkata, mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Katanya, kelima-lima perusahaan itu didapati bersalah kerana berpakat menaikkan harga makanan ternakan ayam menerusi beberapa platform, termasuk hubung kait rekod komunikasi bersama pengurusan tertinggi, nota mesyuarat dan keterangan saksi, di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

Dindings dikenakan penalti bernilai RM70.02 juta, FFM (RM42.69 juta); Gold Coin (RM97.51 juta); Leong Hup (RM157.47 juta) dan PK Agro (RM47.8 juta).

MyCC juga mendapati wakil perusahaan terbabit menghadiri mesyuarat Persatuan Pengeluar Makanan Ternakan (MFA) yang mencadangkan terdapat perjanjian dan/atau amalan bersama mengenai kenaikan kuantum harga makanan ayam, biarpun tidak direkodkan secara rasmi.

"Bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan terbabit dikenal pasti antara Januari 2020 hingga Jun 2022, selain mereka didapati menggunakan strategi menyatakan kenaikan kos disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

"Walaupun terdapat variasi komposisi bahan utama dalam formula makanan ayam setiap perusahaan, namun mereka melaksanakan kuantum kepada harga yang sama secara serentak.

"Pemeriksaan menyeluruh saluran komunikasi digunakan wakil perusahaan melalui aplikasi WhatsApp dan log panggilan ditemui semasa penyiasatan juga menunjukkan hubung kait ketara dengan tarikh pengumuman harga.

"Ketersamaan konsisten antara rekod komunikasi dan keputusan harga, mencadangkan usaha yang sengaja untuk menyelaraskan tindakan mereka, sekali gus menjejaskan persaingan dalam pasaran ayam," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, MyCC turut mengenal pasti berlaku kenaikan antara RM1 hingga RM4 bagi setiap guni makanan ayam seberat 50 kilogram, sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, semua perusahaan terbabit turut diarah menjalani Perintah Berhenti dan Hentikan, selain menghantar laporan bulanan harga makanan ayam, mulai Julai 2022 serta melaksanakan kajian dan pemerkukuhan program latihan pematuhan.

Semua perusahaan itu juga diarah melaksanakan program pematuhan, selain melakukan pengiktirafan pelanggaran undang-undang persaingan sebagai salah laku.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata jumlah penalti dikenakan ke atas lima syarikat terbabit terbesar sejak agensi berkenaan ditubuhkan pada 1 April 2011.

"Kartel adalah kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan, selain ia adalah antara bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutama bagi kes berkepentingan awam.

"MyCC ditugaskan akan meneruskan usaha bagi menghapuskan kartel, seiring matlamat penubuhan agensi ini, tanpa rasa takut atau pilih kasih. Kita berharap semua pihak mengambil iktibar daripada kes ini," katanya.

Hari ini sekali lagi syarikat milik Taikun Tan Sri Robert Kuok, PPB Group Bhd, FFM Bhd menafikan MyCC dan akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti sebanyak RM42.69 juta bagi pelanggaran pelanggaran akta penetapan harga. Menurut FFM berpandangan bahawa keputusan itu adalah tidak bermerit.

"Ia akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya mengenai tindakan sesuai yang akan diambil untuk mencabar keputusan itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Comment