Akur Kepada Arahan Pakatan di Semenanjung Warisan dan DAP Bertukar Kerusi
20:04 Apr 18, 2018  |  By SabahKini2
Akur Kepada Arahan Pakatan di Semenanjung Warisan dan DAP Bertukar Kerusi

Pastinya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerusi yang telah diperuntukkan namun untuk mencapai matlamat kerjasama dan gabungan kedua-dua pihak

Kota Kinabalu: DAP Sabah telah akur untuk bertukar-tukar beberapa kerusi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 ini dengan dengan sekutunya iaitu Parti Warisan Sabah atas arahan Pakatan Harapan Pusat dan kononnya demi "mencapai misi yang lebih utama".

Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata parti itu bersetuju untuk menukarkan beberapa kerusi dengan Warisan dan menggesa para penyokong untuk terus memberi sokongan penuh mereka "bukan untuk kepentingan parti sebaliknya demi kesejahteraan negeri dan juga negara".

"Pastinya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerusi yang telah diperuntukkan namun untuk mencapai matlamat kerjasama dan gabungan kedua-dua pihak, sememangnya akan memerlukan pengorbanan besar demi memastikan objektif itu berjaya.

"Kita melihat dalam konteks yang jauh lebih besar, oleh itu saya menggesa para penyokong untuk memberikan sokongan penuh di mana jua kerusi yang ditandingi oleh sama ada Pakatan Harapan mahupun Warisan untuk memastikan BN dapat dijatuhkan," kata Wong kepada pemberita pada Selasa, semasa pengumuman rasmi mengenai 10 calon DAP yang akan bertanding dalam PRU14 ini.

Beliau berkata kerusi yang perlu dikorbankan ialah Sook, Tanjung Aru, Karamunting dan Sepanggar serta Melalap kerana senario politik di Sabah berbeza berbanding di Semenanjung.

Menurut laporan baru-baru ini, dikatakan bahawa DAP Sabah hanya akan bertanding di tiga kerusi parlimen dan tujuh kerusi negeri berbanding pada pilihan raya sebelumnya yang mana parti itu bertanding empat kerusi parlimen dan lapan kerusi negeri.

Antara kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh parti itu dalam PRU14 ini ialah Kota Kinabalu dan Sandakan yang akan dipertahankan oleh Setiausaha DAP Negeri Chan Foong Hin dan juga Pengerusinya iaitu Stephen Wong. Manakala kerusi baru pula iaitu Tenom, akan ditandingi oleh Penyelaras DAP Bahagian, Noorita Sual yang tidak begitu dikenali

Wajah-wajah baru seperti Setiausaha Publisiti mereka, Phoong Jin Zhe serta Tan Lee Fatt pula akan cuba merampas semula kerusi Luyang dan Likas bersama-sama Jannie Lasimbang dan juga Jimmy Wong yang akan mempertahankan Kerusi Kepayan dan kerusi Sri Tanjong.

Sementara itu kerusi baru, Bingkor akan ditandingi oleh wajah baru yang lain, iaitu Pengerusi DAP Keningau Peter Saili, Frankie Poon untuk bersama kerusi Tanjung Papat dan juga Calvin Chong untuk kerusi Elopura.

Wong juga berkata parti itu akan menggunakan logo rasminya di Sabah, tidak seperti di semenanjung yang mana ia memutuskan untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR). Penggunaan Logo DAP di Sabah dan Sarawak menunjukkan DAP tetap sebuah parti dominan dalam Pakatan Harapan.

Terdahulu, Wong berkata Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan Warisan dalam menganjurkan "Ceramah Perdana Harapan" yang pertama di Dewan Serbaguna Yu Yuan, Sandakan pada 21 April (Sabtu) dan menyeru penyokong supaya hadir ke ceramah tersebut.

Beliau berkata Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan salah seorang penceramah bersama-sama dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim dan juga Pengerusi PKR Negeri Sabah, Christina Liew.

Sebelum ini Tan Sri Muhyiddin menjadi wakil  Mahathir bagmenyelesaikan kemelut perebutan kerusi parti Warisan, DAP, PAN dan PKR. 

 

2 Comments