Wang Usno RM870 ribu tidak wujud- Polis Sabah
11:05 May 03, 2018  |  By SabahKini2
Wang Usno RM870 ribu tidak wujud- Polis Sabah

Saling menuduh, saling melaporkan akhirnya wang RM870 ribu tidak wujud. Apa motif?

KOTA KINABALU: Semalam Sabahkini2 ada melaporkan tentang Wang deposit sebanyak RM870,000 yang didakwa hilang oleh calon parti USNO untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai  tidak wujud dan Imam JHEAINS yang dituduh melarikan wang berkenaan juga telah melaporkan kepada pihak Polis kerana difitnah. 

Hari ini Bernama melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din mengesahkan wang itu 'tidak wujud'. Beliau berkata siasatan awal mendapati calon-calon parti itu  hanya dijanjikan dengan wang deposit untuk bertanding dan menerusi 'cakap-cakap' daripada anggota parti itu sendiri.

"Tiada sesiapa yang pernah melihat dan menerima wang itu. Suspek yang dikatakan terlibat juga tampil membuat laporan polis menafikan menerima wang tersebut kerana tiada pembayaran dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis, Kepayan, di sini hari ini.

Ramli berkata berikutan itu, 84 calon daripada USNO tidak dapat bertanding pada PRU14 ini.

Beliau berkata setakat ini 10 orang saksi dipanggil untuk direkod percakapan termasuk suspek yang berusia 38 tahun.

"Bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan ada calon telah membuat pembayaran kepada orang-orang tertentu sebagai wang deposit," katanya.

Ramli berkata siasatan masih di peringkat awal dan polis akan memanggil ramai lagi saksi untuk direkod keterangan.



-

Comment