Berbaik dengan Mahathir tetapi menafikan hak Sarawak tidak boleh dibenarkan- Peter Minos
02:06 Jun 09, 2018  |  By SabahKini2
Berbaik dengan Mahathir tetapi menafikan hak Sarawak  tidak boleh dibenarkan- Peter Minos

Tidak adil kepada Sarawak yang sangat memerlukan wang hasil minyak dan gas untuk pembangunan dan kemajuan negeri agar dapat bersaing dengan negeri-negeri lain yang lebih maju di Semenanjung.

KUCHING- Penganalisis politik, Datuk Peter Minos berkata walaupun Sarawak memiliki hak mutlak terhadap tanah, hutan rimba dan pelbagai hasil mahsul galian yang ditemui di buminya tetapi ramai yang mempertikaikan kenapa tidak demikian halnya bagi hasil minyak dan gas yang ditemui di negeri itu.

Beliau bertanya kenapa kerajaan persekutuan  menggubal Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan kemudiannya mengambil hak dan kepentingan Sarawak berkaitan hasil minyak dan gas?"

"Apa yang boleh saya katakan ialah kerajaan persekutuan mahu mengeksploitasi hasil  minyak dan gas Sarawak demi memperoleh wang yang berbilion banyaknya," kata Minos, yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

Bekas Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, sejak 1974, kerajaan persekutuan, menerusi Petronas, dikatakan telah mengaut untung berbilion  ringgit daripada hasil  minyak dan gas Sarawak.

"Bagi saya, jika Sarawak mendapat faedah dan kepentingan daripada hasil tanah, hutan rimba dan sumber galiannya, jadi secara semula jadi,  berasaskan sejarah dan warisan serta disokong pula oleh undang-undang, maka secara logiknya Sarawak sepatut dan semestinya menikmati hasil daripada minyak dan gas yang ditemui di negeri itu.

"Mana-mana undang-undang, seperti Akta Kemajuan Petroleum yang mengambil hak Sarawak untuk mengeksploitasi dan menikmati sumber-sumber semula jadinya, maka undang-undang tersebut bukan sahaja tidak adil, bahkan juga tidak saksama. 

"Tidak adil kepada Sarawak yang sangat memerlukan wang hasil minyak dan gas untuk pembangunan dan kemajuan negeri agar dapat bersaing dengan negeri-negeri lain yang lebih maju di Semenanjung.

"Ia tidak adil kerana Akta Kemajuan  Petroleum tidak mengiktiraf dan menghargai hak daripada segi undang-undang dan warisan turun-temurun negeri Sarawak terhadap sumber semula jadi serta aspirasi dan keperluan negeri Sarawak secara umumnya," kata Minos.

Menurut Minos, apa-apa  undang-undang, sama ada ia diwujudkan atau diperoleh, yang didapati tidak adil dan saksama, harus dimansuhkan dan tidak wajar dipatuhi atau dihormati.

Beliau berkata  langkah Petronas yang berhasrat untuk terus menggunakan Akta Kemajuan Petroleum untuk mengeksploitasi dan menguasai hasil minyak dan gas Sarawak adalah tidak adil, tidak saksama dan Sarawak tidak harus bertolak ansur dan tidak sepatutnya membiarkan perkara itu tidak dicabar.

Minos berkata Sarawak mesti tegas dan teguh dalam pendiriannya berhubung isu-isu penting seperti itu, iaitu memegang pendirian yang dilihat dapat membantu menentukan hala tuju masa depan dan ekonomi Bumi Kenyalang itu dan rakyatnya.

"Semua rakyat Sarawak yang berfikiran waras seharusnya menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan Sarawak terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan mempertahan serta memperjuangkan hak-hak negeri itu berkaitan  hasil minyak dan gas.

"Walaupun Sarawak mesti dan harus memelihara hubungan baik dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Petronas, tetapi Sarawak tidak boleh membenar atau membiarkan mana-mana pihak menafikannya untuk menikmati hak-hak semula jadinya berkaitan hasil minyak dan gas," kata beliau.

Sementara itu keputusan Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia turut menggusarkan Sabah. 

Jika Petronas memenangi kes ini, ia bermakna semua sumber minyak kita, 100%, akan dimiliki oleh Petronas dan bukan rakyat Sabah dan Sarawak

Dalam kenyataan media Petronas sebelum ini yakin keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Petronas percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA."

 

1 Comment