Warisan lapor polis terhadap Jeffrey Kitingan
17:10 Oct 02, 2018  |  By SabahKini2
Warisan lapor polis terhadap Jeffrey Kitingan

"Jeffrey sentiasa mengesyaki setiap tindakan yang dilakukan kerajaan dengan mengatakan kerajaan mempunyai agenda tersembunyi,” kata Honorsius

PENAMPANG: Pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Gapari Kitingan yang mempertikaikan usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat tempatan mendapatkan kad pengenalan (IC) sebagai satu agenda tersembunyi.

Pengarah Komunikasi Warisan, Honorsius Alfred Bosiun berkata, Jeffrey seolah-olah menidakkan realiti dan membuat tuduhan liar dengan memutarbelitkan usaha baik kerajaan itu sebagai permulaan kepada Projek IC.

Oleh itu, Jeffrey harus memberi bukti terhadap dakwaan tidak masuk akal yang dilontarkan terhadap kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis mengenai artikel bertajuk “Jeffrey persoal motif Shafie menggerakkan JPN pada setiap lawatan” yang tular dalam laman media sosial.

Dalam laporan polis itu, Honorsius meminta polis menjalankan siasatan terhadap artikel berbaur fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri dan barisan Jemaah Kabinet.

“Artikel yang mendakwa kerajaan mengeluarkan Kad Pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin (PTI) itu menimbulkan hasutan.

“Jeffrey sentiasa mengesyaki setiap tindakan yang dilakukan kerajaan dengan mengatakan kerajaan mempunyai agenda tersembunyi,” kata Honorsius dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang, di sini pada Ahad.

Sasaran terbaru yang dilemparkan tanpa usul periksa adalah dakwaan terhadap tindakan Kerajaan Warisan-PH melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam kenyataan dibuat itu, Jefftey menyatakan mahkamah turut memberi bantuan dalam program yang diadakan di Keningau dengan menghantar Mahkamah Bergerak bagi membantu orang ramai yang berkelayakan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri yang diperlukan.

Jeffrey memutarbelitkan isu ini dengan menghasut rakyat agar percaya bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal adalah dalang disebalik satu lagi Projek IC.- BorneoToday

 

[ARTIKEL BERKAITAN- Mengapa kaunter JPN dikerah untuk Projek IC?- Dr. Jeffrey ]

[ARTIKEL BERKAITAN- Kerajaan Warisan janji mudahkan permohonan sijil lahir warga asing kahwin orang tempatan ]

11 Comments